fb fb fb fb fb

Penyokong Presiden Tunisia berhimpun menentang pihak pembangkang

TUNIS, 20 Mac- Beratus-ratus penyokong Presiden Kais Saied berhimpun di Tunis pada Isnin untuk menunjukkan sokongan mereka kepadanya selepas tindakan keras terhadap pihak lawan yang dituduh melakukan pengkhianatan, rasuah dan menolak campur tangan asing.

"Rakyat mahu negara dibersihkan!" itu antara laungan penduduk yang melakukan perarakan di jalan Tunis.

Pihak pembangkang kerap mengadakan protes terhadap Saied.

Saied dipilih menjadi Presiden Tunisia pada 2019, dan berjaya merampas sebahagian besar kuasa pada 2021 dengan menutup parlimen yang dipilih dan menggantikan kerajaan sebelum berpindah untuk memerintah melalui dekri dan menulis semula perlembagaan.

Dalam beberapa minggu ini polis mula membanteras kumpulan pembangkang yang menuduhnya melakukan rampasan kuasa, menahan ahli politik, tokoh kesatuan buruh, hakim, ahli perniagaan terkemuka dan ketua stesen radio bebas.

Bagaimanapun, Saied menafikan melakukan rampasan kuasa.

Beliau mengatakan tindakannya sah dan ia perlu untuk menyelamatkan Tunisia daripada kekacauan bertahun-tahun, selain mengecam lawannya sebagai pengkhianat, penjenayah dan pengganas.

Beliau menjawab kebimbangan terhadap tindakannya oleh Amerika Syarikat dan parlimen Eropah dengan mengecamnya sebagai campur tangan asing dan serangan terhadap kedaulatan Tunisia.

"Kami menyokong Saied dalam kempennya menentang pengkhianat dan rasuah, selain mereka yang merosakkan negara sepanjang dekad lalu dan menentang campur tangan luar," kata Lobna Souissi, salah seorang penunjuk perasaan.

"Kami mahu Saied meneruskan usahanya tanpa henti," tambahnya.- REUTERS

(Penyokong Presiden Tunisia Kais Saied semasa tunjuk perasaan di Tunis/REUTERS)

Media Baharu