fb fb fb fb fb

Penyertaan AS, China buka laluan kejayaan sidang kemuncak APEC

Perdana Menteri Korea Selatan, Kim Min Seok berkata penyertaan AS, China beri kejayaan kepada sidang kemuncak APEC /Foto FB THE KOREA TIMES

KOREA SELATAN, 23 Oktober- Perdana Menteri Korea Selatan Kim Min Seok menyatakan harapan untuk kejayaan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijangka bertemu di luar acara rasmi.

Kim membuat kenyataan itu ketika meninjau tempat sidang kemuncak di bandar tenggara Gyeongju, dengan acara itu dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober dan 1 November ini, lapor agensi berita Yonhap.

“Memandangkan telah diputuskan bahawa pemimpin AS dan China akan menyertai, saya percaya perkara itu sendiri membuka kemungkinan kepada kejayaan sidang kemuncak ini,” katanya kepada pemberita.

Trump dijangka melawat Korea Selatan dari 29 hingga 30 Oktober menjelang perhimpunan APEC untuk mengadakan rundingan dua hala berasingan dengan Presiden Lee Jae Myung dan Xi, walaupun beliau berkemungkinan tidak menghadiri sidang kemuncak itu.

Mengenai kemungkinan dialog AS-Korea Utara semasa tempoh APEC, Kim berkata, “Perkara itu masih belum pasti setakat ini.”

Mengulas rundingan tarif antara Korea Selatan dan AS, Kim berkata kedua-dua pihak telah berjaya merapatkan perbezaan mereka, namun masih tidak jelas sama ada isu-isu yang masih tertunggak dapat diselesaikan sebelum sidang kemuncak itu.

Seoul dan Washington telah mengadakan pusingan terkini rundingan perdagangan di Washington, dengan jangkaan bahawa perjanjian dapat dimuktamadkan semasa sidang APEC.

Rundingan itu dilaporkan tertumpu kepada pakej kewangan yang dikaitkan dengan ikrar pelaburan Seoul sebanyak US$350 bilion, sebahagian daripada persetujuan awal pada Julai untuk menurunkan tarif AS terhadap produk Korea daripada 25 peratus kepada 15 peratus. -BERNAMA-YONHAP

SITI NOORAIN ABDULLAH