fb fb fb fb fb

Penyalahgunaan “rokok zombi” meningkat di selatan Jepun

Foto Bernama

OSAKA, 16 November - Penyalahgunaan cecair vape dicampur ubat penenang yang dikenali sebagai “rokok zombi” semakin meningkat dalam kalangan belia di selatan Jepun, mendorong pihak berkuasa memperketat pemantauan bagi mengelakkan penyebaran di seluruh negara, lapor Kyodo News.

Sehingga akhir September, 10 individu kebanyakannya remaja dan golongan 20-an ditahan di wilayah Okinawa kerana memiliki "etomidate" .

Pada Mei lalu, kerajaan Jepun mengklasifikasikan bahan itu sebagai dadah terlarang.

Pada Oktober, polis menahan Yuto Agarie, ketua sindiket pengedaran dadah atas dakwaan menyimpan kira-kira 63.84 gram cecair mengandungi "etomidate" di rumahnya di Urasoe untuk tujuan dijual, menurut kenyataan Khamis.

Polis tempatan mengesyaki kumpulan itu merupakan pembekal utama bahan berkenaan di wilayah berkenaan.

Kerajaan Jepun telah mengharamkan penggunaan, pemilikan dan pengimportan bahan berkenaan.

Sumber penyiasatan berkata bahan itu kini dipromosikan melalui aplikasi pesanan selamat dan turut tersebar di media sosial.

Pada Ogos dan September, tiga lelaki warga China berusia lingkungan 20-an yang tinggal berhampiran Tokyo ditahan atas dakwaan menyeludup kira-kira 100 gram etomidate dari India melalui Singapura.

Menurut Jabatan Kawalan Narkotik kementerian kesihatan, mereka dipercayai menerima pesanan melalui media sosial, mencairkan bahan dalam bentuk serbuk, mengisi semula ke dalam kartrij dan menjualnya berulang kali di kawasan metropolitan Tokyo.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH