(Seorang pesakit yang menghidap demam denggi duduk di bawah kelambu di dalam
wad denggi dan malaria di Hospital Perkhidmatan Kerajaan Sindh di Karachi, Pakistan)
KARACHI, Pakistan, 21 September- Pihak berkuasa Pakistan mengesahkan angka kematian akibat malaria dan penyakit lain di wilayah yang dilanda banjir di Pakistan kini mencecah 324 kes.
Pelakon yang juga aktivis kemanusiaan Angelina Jolie berkata dia takut ramai orang yang ditemuinya semasa lawatan di kawasan banjir- kawasan yang terjejas minggu ini tidak akan berjaya di selamatkan jika banyak bantuan tidak sampai kepada golongan memerlukan.
Beratus-ratus ribu orang kehilangan tempat tinggal akibat banjir termenung di kawasan terbuka. Air banjir bertakung, merebak sehingga ratusan kilometer, mengambil masa dua hingga enam bulan untuk surut. Keadaan ini membawa kepada kes jangkitan kulit dan mata yang meluas, cirit-birit, malaria, demam kepialu dan denggi.
(Angelina Jolie melawat wanita yang terlantar berikutan hujan dan banjir semasa musim tengkujuh,
di kampung Ibrahim Chandio, Dadu, Pakistan)
Menurut pelakon Hollywood, merangkap ahli NGO, Jolie, melawat penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir. Dia melihat beberapa kawasan yang teruk terjejas di wilayah selatan Sindh.
"Saya telah melihat nyawa yang diselamatkan, tetapi jika tanpa bantuan mencukupi, yang lain tidak akan berada di sini dalam beberapa minggu akan datang, mereka tidak akan berjaya di selamatkan," katanya ketika melawat pusat gerakan banjir negara di sini.
Pihak berkuasa dan pekerja bantuan berkata lebih banyak bantuan perlu disegerakan untuk keluarga yang berpindah dan terdedah kepada kawanan nyamuk dan bahaya lain, seperti gigitan ular dan anjing.
Walaupun bantuan diberikan oleh kerajaan dan organisasi tempatan serta asing, penduduk yang terjejas banjir sangat memerlukan khususnya bantuan makanan, tempat tinggal dan ubat-ubatan.
Keadaan bertambah buruk apabila sistem kesihatan Pakistan yang sudah lemah dan kekurangan sokongan tatkala keluarga yang terjejas banjir mengadu terpaksa minum dan memasak menggunakan air tidak bersih.
“Kami tahu ia boleh membuatkan kami jatuh sakit, tetapi apa yang perlu dilakukan, demi meneruskan kehidupan kami harus minum air yang ada,” kata mangsa banjir Ghulam Rasool kepada Geo News TV di sini.
Perubahan monsun kali ini mencurahkan kira-kira tiga kali lebih banyak hujan daripada purata tiga dekad Pakistan dan menyebabkan banjir teruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Banjir itu, yang menurut saintis diburukkan lagi dengan perubahan iklim, telah menjejaskan hampir 33 juta orang di negara Asia Selatan. Ia telah menghanyutkan rumah, tanaman, jambatan, jalan raya dan ternakan dengan kerugian dianggarkan sebanyak AS$30 bilion.
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini... saya terharu,” kata Jolie, yang telah melakukan beberapa lawatan ke Pakistan termasuk selepas banjir maut di selatan negara itu pada 2010.
"Bantuan lambat sampai," kata Dr. Farah Naureen, pengarah negara Mercy Corps untuk Pakistan, selepas melawat beberapa kawasan yang ditenggelami air.
"Kami perlu bekerja secara koordinasi untuk bertindak balas terhadap keperluan segera mereka," katanya dalam satu kenyataan lewat Isnin. Tambahnya keutamaan adalah bekalan air minuman, aspek kesihatan dan pemakanan sebagai keperluan terpenting penduduk yang berpindah.
Kementerian Kewangan Pakistan memaklumkan, pihaknya telah meluluskan 10 bilion rupee (AS$42 juta) untuk digunakan oleh agensi pengurusan bencana bagi mendapatkan bekalan bantuan banjir dan logistik lain.
Perancis merancang untuk menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa tahun ini mengenai pembinaan semula berdaya tahan iklim di kawasan yang terjejas banjir di Pakistan.
Pengumuman itu dibuat selepas Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif dan Presiden Perancis Emmanuel Macron mengadakan pertemuan dua hala di luar sidang ke-77 Perhimpunan Agung Perbuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Pakistan. -REUTERS