fb fb fb fb fb

200 ikan paus mati terdampar di Tasmania

(Foto bertarikh 20 September 2022 daripada Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Tasmania
menunjukkan ratusan paus terdampar di pantai di Pelabuhan Macquarie, di Tasmania / AFP)

HOBART, 22 September- Kira-kira 200 ekor paus spesis 'pilot' terkorban selepas terdampar di Pantai Ocean, barat Tasmania.

Pasukan Penyelamat Hidupan Liar Australia pada Khamis berkata hanya 35 daripada kira-kira 230 ikan paus itu masih hidup, sambil menyifatkan sangat sukar untuk menyelamatkan lebih banyak paus.

Imej udara dari tempat kejadian menunjukkan berpuluh-puluh paus bergelimpangan di sepanjang Pantai Ocean, terdampar di garis air.

Penduduk tempatan turut kelihatan menutup beberapa haiwan mamalia itu dengan selimut dan menyiram mereka dengan air laut untuk memastikan mereka hidup sehingga bantuan lebih banyak tiba.

"Kami mempunyai kira-kira 35 haiwan yang masih hidup di pantai dan fokus utama adalah untuk menyelamat dan melepaskan haiwan ini," kata pengurus operasi hidupan liar negeri, Brendon Clark.

Penyelamat biasanya mengharungi air dan menggunakan abah-abah untuk mengapungkan mamalia tersebut ke perairan yang lebih dalam, tetapi pegawai berkata teknik baharu juga akan diuji, menggunakan bantuan mekanikal firma akuakultur.

Sebuah kapal akan membawa paus tersebut ke perairan yang lebih jernih untuk mengelakkan mereka kembali ke pantai.

Dua tahun lalu berhampiran Pelabuhan Macquarie menyaksikan kejadian paus terdampar terbesar di negara itu, melibatkan hampir 500 ikan paus spesis sama.

Lebih daripada 300 paus mati, walaupun usaha berpuluh-puluh sukarelawan yang bekerja keras selama berhari-hari di perairan beku Tasmania untuk membebaskan mereka.

Clark berkata keadaan terbaharu yang berlaku di Pantai Ocean adalah lebih sukar untuk ikan paus berkenaan berbanding dua tahun lalu, apabila haiwan itu berada di "perairan yang lebih terlindung".

Fokus juga akan beralih kepada penyingkiran dan pelupusan bangkai, yang sering menarik jerung.

Siasatan lanjut akan dilakukan untuk mendapatkan punca mengapa paus-paus tersebut terdampar, tetapi saintis masih tidak memahami sepenuhnya mengapa haiwan itu terdampar secara besar-besaran.

Para saintis telah mencadangkan kumpulan paus itu boleh terkeluar dari laluan sebenar mereka apabila mencari makanan terlalu dekat dengan pantai.

Paus spesis 'pilot' yang boleh membesar sehingga lebih daripada enam meter (20 kaki) panjang juga sangat mudah bergaul, jadi mereka mungkin mengikut 'podmate' yang tersesat.

Itu kadangkala berlaku apabila haiwan tersebut tua, sakit atau cedera berenang ke darat dan ahli pod lain mengikut, cuba bertindak balas kepada isyarat kecemasan paus yang terperangkap.

Manakala pendapat lain percaya pantai yang landai seperti yang terdapat di Tasmania mengelirukan sonar ikan paus membuatkan mereka menyangka mereka berada di perairan terbuka.

Kejadian paus terkandas terbaharu berlaku beberapa hari selepas 14 ekor ikan paus sperma jantan muda dilaporkan mati apabila terdampar di Pulau King antara Tasmania dan tanah besar Australia.

Pegawai negeri berkata bahawa insiden itu mungkin satu kes malang.

Di New Zealand kejadian paus terdampar juga biasa dilaporkan.

Di sana, kira-kira 300 paus terdampar setiap tahun, menurut angka rasmi dan ia bukan perkara luar biasa untuk kumpulan antara 20 dan 50 paus juruterbang kandas.

Tetapi bilangannya boleh mencecah ratusan apabila "pod super" terlibat yang menyaksikan pada 2017, terdapat hampir 700 paus juruterbang terdampar secara besar-besaran. -AFP


(Penduduk tempatan membantu menyelamat ratusan paus yang terdampar / AFP)

Media Baharu