fb fb fb fb fb

Penyakit bawaan air, kurang zat makanan di Pakistan dijangka lebih buruk

ISLAMABAD, 22 September- Penyakit bawaan air dan kekurangan zat makanan yang melanda Pakistan selepas musim banjir dijangka lebih buruk berbanding kesan bencana alam itu.

Amaran itu diberikan Penyelaras Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Julien Harneis.

Menurut beliau, Pakistan berdepan bencana kedua ekoran penyakit, seperti denggi, malaria, taun dan cirit-birit, di samping kekurangan zat makanan.

"Kebimbangan peribadi saya ialah kematian akibat penyakit bawaan air, daripada kekurangan zat makanan akan lebih tinggi daripada apa yang kita lihat setakat ini," katanya pada sidang akhbar di ibu negara Islamabad.


(Penduduk terjejas banjir menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan makanan di kem sementara, Dera Allah Yar, daerah Jaffarabad, wilayah Balochistan /AFP)

Sehingga kini, seramai 33 juta penduduk terjejas dalam kejadian banjir baru-baru ini serta kira-kira dua juta rumah dan premis perniagaan telah musnah.

Manakala, lebih tujuh juta penduduk kehilangan tempat tinggal.

Dalam pada itu, lebih 1,600 kematian telah dilaporkan.

Pakistan telah dilanda hujan monsun yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan membanjiri satu pertiga daripada negara itu iaitu bersamaan kawasan keluasan United Kingdom-AFP

Media Baharu