fb fb fb fb fb

Lula tolak tunduk: Enggan hubungi Trump walau tarif AS cecah 50%

FOTO REUTERS

BRASILIA, 7 Ogos – Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menegaskan beliau tidak akan “menghina diri” dengan menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, walaupun tarif AS ke atas barangan Brazil melonjak sehingga 50 peratus mulai Rabu.

“Bila naluri saya kata Trump sedia nak berbincang, saya akan telefon dia. Tapi hari ini naluri saya kata dia tak mahu berbincang, dan saya tak akan menghina diri sendiri,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Reuters di kediaman rasminya.

Lula menyifatkan hubungan Brazil-AS berada pada tahap paling rendah dalam tempoh 200 tahun selepas Trump mengaitkan tarif baharu itu dengan desakan supaya pendakwaan terhadap bekas Presiden Jair Bolsonaro dihentikan.

Mahkamah Agung Brazil kini membicarakan Bolsonaro kerana didakwa merancang menggulingkan keputusan pilihan raya 2022, yang menurut Lula “tidak patut diendahkan oleh Trump sama sekali.” Lula malah menuduh Bolsonaro sebagai “pengkhianat negara” kerana mencetuskan campur tangan Trump dalam urusan Brazil.

“Kita pernah memaafkan campur tangan AS dalam rampasan kuasa 1964, tapi yang ini lain. Ini presiden AS fikir dia boleh tentukan peraturan untuk negara berdaulat seperti Brazil. Tak boleh diterima,” tegas Lula yang juga bekas pemimpin kesatuan sekerja yang bangkit menentang rejim tentera suatu ketika dulu.

Beliau menegaskan Brazil tidak akan mengenakan tarif balas buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada langkah domestik untuk menyerap kesan ekonomi tarif tersebut sambil mengekalkan “tanggungjawab fiskal”.

Namun, Lula merancang menghubungi pemimpin negara BRICS, bermula dengan India dan China, untuk membincangkan tindak balas bersama terhadap tarif AS.

Selain itu, beliau turut mengumumkan pelan baharu dasar nasional sumber mineral strategik yang dianggap sebagai isu kedaulatan negara, sekali gus mengakhiri sejarah eksport perlombongan yang menurutnya tidak memberi nilai tambah kepada ekonomi Brazil.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE