(Antara nota dibawa penunjuk perasaan/REUTERS)
BERLIN, 26 Jun- Kira-kira 4,000 orang berarak di Munich semalam, meminta pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) bertindak menangani isu kemiskinan, perubahan iklim, kelaparan dan menamatkan kebergantungan terhadap bahan api fosil Rusia.
Pemimpin Amerika Syarikat (AS), Jerman, Perancis, Britain, Itali, Kanada dan Jepun bertemu hari ini, pada permulaan sidang kemuncak tiga hari di Schloss Elmau di pergunungan Bavaria.
Ia bertujuan meningkatkan tekanan ke atas Russia yang menyebabkan krisis makanan dan tenaga berlaku di seluruh dunia ekoran tindakannya ke atas Ukraine.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk 'Stop The War Russia And USA/NATO Hands Off Ukraine' dan 'Imperialism Starts Here', serta menuntut G7 memberi lebih banyak dana bagi pencegahan krisis, pengurusan konflik sivil dan pembangunan ekonomi.
"Kami berada di G7 sekali lagi hari ini kerana menyedari tiada apa-apa yang bertambah baik, ia berlaku sekian lama hingga memusnahkan diri kami," kata penunjuk perasaan, Lisa Munz.
Protes itu diadakan di tempat pesawat pemimpin G7 mendarat sebelum menuju ke Elmau, ditaja lebih 15 organisasi termasuk WWF Jerman, Oxfam Deutschland, Greenpeace dan Bread for the World.
Sementara itu, saksi berkata, pegawai dengan alat rusuhan mendorong penunjuk perasaan dalam konfrontasi fizikal ringkas.
Polis berkata, beberapa pegawai diserang serta sembilan orang ditahan tetapi demonstrasi secara keseluruhannya kekal aman.
Kira-kira 3,000 pegawai bertugas di seluruh bandar, kata polis Munich.
(Penunjuk perasaan berarak menjelang sidang kemuncak pemimpin G7 di Schloss Elmau di pergunungan Bavaria, Munich, Jerman/REUTERS)
G7 lazimnya menarik bantahan puluhan kumpulan kempen yang ingin mendapatkan publisiti untuk tujuan mereka dan menghantar mesej kepada elit politik Barat.
Pemimpin G7 dijangka membincangkan penubuhan kelab iklim untuk menyelaraskan harga karbon dengan lebih baik dan skim lain bagi mengurangkan pelepasan.
Hampir 20,000 pegawai polis dikerah untuk memastikan keselamatan sidang kemuncak itu. -REUTERS