fb fb fb fb fb

Penubuhan negara Palestin jaminan terbaik untuk keselamatan Israel - EU

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell/ AFP

BRUSSELS, 21 November- Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell, berkata penubuhan negara Palestin akan menjadi langkah terbaik untuk memastikan keselamatan Israel.

Borrell mengadakan pertemuan menerusi panggilan video dengan menteri luar dari 27 negara EU selepas melawat Timur Tengah untuk perbincangan mengenai perang Israel dengan Hamas.

Borrel yang juga Diplomat tertinggi EU, berkata bahawa beliau telah membuat kesimpulan politik daripada perbincangannya di seluruh rantau ini.

"Saya berpandangan bahawa jaminan terbaik untuk keselamatan Israel ialah penubuhan negara Palestin," kata Borrell dalam ringkasan bertulis mesyuarat EU.

Borrell telah menegaskan Israel tidak sepatutnya terus berada di Gaza selepas konflik semasa berakhir dan kawalan wilayah itu harus diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin.

"Walaupun menghadapi cabaran besar, kita perlu memajukan pelan bertindak kita mengenai penstabilan Gaza dan negara Palestin pada masa depan," katanya.

Dalam jangka pendek, Borrell berkata, selepas melawat beberapa negara Arab, terdapat desakan berhubung krisis kemanusiaan terdesak di Gaza.

"Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menyeru supaya ruang kemanusiaan segera adalah satu langkah besar ke hadapan, tetapi kita mesti memastikan pelaksanaannya pantas," kata pegawai EU itu.

Satu lagi kebimbangan utama ialah kemungkinan konflik itu memburukkan lagi keadaan yang tidak menentu di Tebing Barat dan mengheret pihak bertelagah lain di Timur Tengah.

"Dengan peningkatan keganasan pelampau dan peneroka terhadap rakyat Palestin, terdapat risiko sebenar keadaan boleh bertambah buruk," ujar Borrell.

"Laporan kapal yang dirampas oleh Houthi adalah satu lagi isyarat membimbangkan tentang risiko serantau." -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI