WASHINGTON, 12 Disember - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin memaklumkan kepada Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz dalam satu panggilan bahawa adalah penting bagi Amerika Syarikat dan Israel untuk berunding rapat atau secara mendalam mengenai peristiwa yang berlaku di Syria, kata Pentagon.
Austin memberitahu Katz bahawa Washington sedang memantau perkembangan di Syria dan menyokong peralihan politik yang aman dan inklusif, menurut Pentagon.
Tambahnya, AS akan meneruskan misinya untuk menghalang kumpulan penentang kerajaan daripada membina semula tempat selamat di Syria.
Ini selepas kemaraan kumpulan penentang itu yang diketuai Abu Mohammed al-Golani menamatkan lebih 50 tahun pemerintahan keluarga Assad.
“Austin menekankan pentingnya rundingan rapat antara Amerika Syarikat dan Israel mengenai peristiwa di Syria,” kata Pentagon.
Ia menambah bahawa Austin juga mengadakan perbincangan dengan Katz mengenai percubaan untuk membebaskan tebusan Israel di Gaza dan menggesa Israel untuk memperbaiki misi kemanusiaan di enklaf Palestin, di mana serangan tentera Israel telah membawa kepada tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang dinafikan.-REUTERS