SEOUL, 12 Disember - Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengecam pihak pembangkang sebagai "kuasa anti-negara" sambil mendakwa Korea Utara telah menggodam pilihan raya negara itu.
Beliau turut mempertahankan perintah darurat tentera yang diumumkan secara ringkas sebagai langkah sah untuk melindungi demokrasi.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen, Yoon menyatakan pembangkang sedang "menari tarian pedang kegilaan" dengan cuba menggulingkan seorang presiden yang dipilih secara demokratik.
Ucapan itu dibuat sembilan hari selepas percubaan terbatal beliau untuk memberikan kuasa meluas kepada tentera.
"Saya akan bertarung hingga ke akhir," katanya. "Sama ada mereka memecat saya atau menyiasat saya, saya akan menghadapinya dengan berani."
Ini merupakan kenyataan pertama Yoon sejak beliau memohon maaf pada Sabtu lalu dan berjanji menyerahkan nasibnya kepada sekutu politiknya.
Bagaimanapun, pemimpin parti pemerintah, People Power Party (PPP), Han Dong-hoon berkata jika Yoon enggan meletakkan jawatan, beliau mesti dipecat.
"Saya mencadangkan agar kita mengangkat usul pemecatan sebagai dasar parti ... Ucapannya seperti mengakui pemberontakan," katanya dalam satu mesyuarat parti, yang mencerminkan semakin merosotnya pengaruh Yoon.
Yoon kini berhadapan undian pemecatan kedua di Parlimen yang dijangka berlangsung pada Sabtu ini, selepas undian pertama gagal kerana boikot oleh sebahagian besar anggota parti pemerintah.
Sekiranya usul tersebut berjaya, kes akan dibawa ke Mahkamah Perlembagaan untuk menentukan kesahihan jawatan Presiden Yoon.
Proses itu ijangka memakan masa sehingga enam bulan, sekali gus menyebabkan Korea Selatan, ekonomi keempat terbesar Asia dan sekutu utama Amerika Syarikat, berada dalam ketidaktentuan politik.
Yoon turut sedang disiasat atas dakwaan pemberontakan berkaitan pengisytiharan darurat tentera pada 3 Disember lalu, yang dibatalkan hanya beberapa jam kemudian.
Langkah itu mencetuskan krisis politik terbesar Korea Selatan dalam beberapa dekad.
Dalam kenyataannya, Yoon menyatakan bahawa "kumpulan jenayah" yang telah melumpuhkan urusan negara dan mengganggu kedaulatan undang-undang mesti dihentikan.
Beliau merujuk kepada Parti Demokratik pembangkang, tetapi tidak memberikan bukti sebarang aktiviti jenayah.
Anggota kepimpinan Parti Demokratik, Kim Min-seok, menyifatkan ucapan Yoon sebagai "paparan khayalan yang melampau."
Beliau menyeru anggota parti pemerintah untuk menyokong usul pemecatan presiden itu.
Krisis ini terus menjadi ujian terbesar kepada demokrasi Korea Selatan, dengan negara kini berada di persimpangan antara kestabilan politik dan konflik dalaman.-REUTERS