fb fb fb fb fb

Pentagon dakwa belon pengintip China berada di ruang udara AS

WASHINGTON, 3 Februari- Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesan belon pengintip yang disyaki milik China berada di ruang udara di negeri Montana, menurut Pentagon pada Khamis.

Atas permintaan Presiden Joe Biden, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin dan pegawai tinggi tentera mempertimbangkan untuk menembak belon itu tetapi memutuskan berbuat demikian akan membahayakan terlalu ramai orang di lapangan, kata seorang pegawai kanan pertahanan kepada pemberita.

Pegawai itu berkata belon itu terbang ke barat laut AS di mana terdapat pangkalan udara sensitif dan peluru berpandu strategik dalam silo bawah tanah.

"Jelas sekali, tujuan belon ini adalah untuk pengawasan, dan laluan penerbangan semasa membawanya ke beberapa tapak sensitif," kata pegawai itu, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Tetapi Pentagon tidak percaya ia merupakan ancaman perisikan yang sangat berbahaya.

"Kami menilai bahawa belon ini mempunyai nilai tambahan yang terhad dari perspektif pengumpulan perisikan," kata pegawai itu.

Belon itu memasuki ruang udara AS "beberapa hari lalu," kata pegawai itu, sambil menambah bahawa perisikan AS telah menjejakinya dengan baik sebelum itu.

(Pentagon sedang menjejaki belon pengawasan China yang disyaki di atas ruang
udara AS Foto Google)

Insiden sama pernah berlaku sebelum ini, namun kali ini belon itu dilihat kekal berada di ruang udara wilayah AS lebih lama berbanding biasa.

Menurut Pentagon, belon itu tidak mendatangkan bahaya kepada pesawat.

AS sedang berhubung dengan pihak China berhubung kejadian itu. -AFP

Media Baharu