fb fb fb fb fb

Pentadbiran Trump kenakan sekatan terhadap 4 hakim ICC

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.

WASHINGTON, 6 Jun - Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) semakin meningkat apabila Presidennya, Donald Trump mengenakan sekatan terhadap empat hakim dari tribunal jenayah perang itu.

Tindakan itu dibuat susulan keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini, serta membuka kertas siasatan terhadap jenayah perang yang didakwa dilakukan oleh tentera AS di Afghanistan.

ICC mengecam sekatan ini dan menyifatkan ia adalah cubaan untuk melemahkan kuasa badan kehakiman antarabangsa serta menghalang kebebasan untuk memberikan keadilan kepada mangsa yang terkait dengan jenayah perang.

Namun, AS melalui Setiausaha Negaranya, Marco Rubio, mempertahan keputusan tersebut dengan alasan hakim-hakim ini terlibat dalam tindakan tidak berasas yang dengan sengaja menyasarkan AS dan sekutunya.

Aktivis hak asasi manusia turut mengkritik langkah ini serta menganggap AS tidak menghormati kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Berikutan arahan sekatan itu, aset hakim-hakim tersebut di AS akan dibekukan dan segala transaksi kewangan mereka turut terhalang.

Dengan pantas, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengeluarkan lesen umum yang membenarkan penamatan transaksi secara berperingkat sehingga 8 Julai.

Sebelum ini, AS pernah melakukan sekatan terhadap Pendakwa ICC, Karim Khan, yang berundur bulan lalu di tengah-tengah siasatan PBB terhadap dakwaan salah laku.

Pentadbiran Trump mendakwa sekatan ini menunjukkan pendirian tegas pihaknya terhadap institusi kehakiman yang dianggap melangkau bidang kuasa diperuntukkan. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM