fb fb fb fb fb

Hamas terbuka dengan cadangan gencatan senjata AS

Pemimpin Hamas, Khalil Al-Hayya dalam satu rakaman video.

GAZA, 6 Jun - Hamas bersedia untuk membuat rundingan baharu dan terbuka untuk berkomunikasi dengan negara-negara perantara mengenai cadangan yang bermanfaat untuk menamatkan episod perang yang tidak berkesudahan di wilayah Gaza.

Pemimpinnya di wilayah itu, Khalil al-Hayya menegaskan, pihaknya mengalu-alukan cadangan gencatan senjata terbaharu yang dikemukakan oleh wakil khas Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff, namun mahukan beberapa perubahan dibuat dalam perjanjian tersebut.

"Demi mencapai persetujuan untuk mengakhiri konflik, Hamas menuntut penghentian perang sepenuhnya dan pengunduran tentera Israel dari Gaza," ucap Khalil dalam satu rakaman video.

Namun, syarat tersebut ditolak oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyatakan kononnya kerajaan Israel yang telah bersetuju dengan cadangan Witkoff pada awalnya, tetapi Hamas masih menolak perjanjian itu.

Sebagai balasan, Hamas menegaskan, mereka akan membebaskan baki tebusan jika Israel benar-benar bersetuju untuk mengakhiri perang.

Tetap berdegil dengan pendiriannya, Netanyahu berkeras tidak mahu berundur dan menyatakan perang akan berakhir juga Hamas dilenyapkan sepenuhnya dari bumi Gaza.

Penyelesaian konflik yang berlanjutan ini bergantung kepada kebijaksanaan perantara untuk bersidang di meja rundingan bagi mencapai persetujuan kedua-dua pihak. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM