fb fb fb fb fb

Harvard cabar larangan kemasukan pelajar antarabangsa diisytihar Trump

Foto AFP

AMERIKA SYARIKAT, 6 Jun- Universiti Harvard menuntut mahkamah untuk menyekat serta merta tindakan Presiden Donald Trump yang menghalang warga asing untuk memasuki pusat pengajian itu. Harvard menerusi kenyataan berkata, tindakan Trump itu menyalahi undang-undang persekutuan.

"Proklamasi itu menafikan hak beribu-ribu pelajar yang datang ke Harvard untuk melanjutkan pelajaran dan mengikuti impian mereka, dan ia menafikan hak Harvard untuk mengajar mereka. Tanpa pelajar antarabangsa, Harvard bukanlah Harvard," menurut Harvard dalam pemfailan yang diserahkan kepada mahkamah.

Harvard telah meminda tuntutan terdahulu terhadap presiden Republikan itu di mahkamah untuk mencabar pengisytiharan yang dikeluarkan Trump Rabu lepas. Pentadbiran Trump telah membekukan berbilion dolar geran dan pembiayaan lain universiti itu serta bercadang untuk menamatkan status pengecualian cukainya.

Harvard enggan memenuhi tuntutan berkenaan dan bertegas untuk mengawal tadbir urus sekolah, kurikulum dan ideologi fakulti dan pelajarnya sendiri.

Sementara itu, jurucakap White House, Abigail Jackson menggelarkan Harvard sebagai penghasut anti-Amerika dan propengganas. Tambahnya tingkah laku itu telah menjejaskan integriti keseluruhan sistem visa pelajar dan pertukaran pelawat Amerika Syarikat selain berisiko menjejaskan keselamatan negara.

Rabu lalu, Trump mengeluarkan arahan untuk melarang kemasukan pelajar asing ke universiti tertua yang berpangkalan di Cambridge, Massachusetts itu. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH