WASHINGTON, 6 Jun - Jutawan teknologi Elon Musk menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk melaksanakan Rang Undang-Undang Pemotongan Perbelanjaan bernilai AS$1.6 trilion.
Pertelingkahan Musk dan Trump semakin tegang apabila Musk secara terang-terangan mengkritik tindakan tersebut di platform X dan memberi amaran akan berlakunya kemelesetan ekonomi jika rang undang-undang itu dilaksanakan.
Namun Trump menolak kritikan Musk di platform Truth Social dan menyifatkan dasar itu sebagai yang terhebat pernah dibentangkan kepada Kongres.
"Ia merupakan pemotongan perbelanjaan rekod, AS$1.6 trilion dolar, dan pemotongan cukai terbesar yang pernah diberikan. Jika rang undang-undang ini tidak diluluskan, akan ada kenaikan cukai sebanyak 68 peratus, dan perkara jauh lebih buruk daripada itu," kata Trump.
Trump tetap mempertahankan tindakannya dengan alasan untuk memperbaiki Amerika menjadi negara yang hebat.
Musk pula mengumumkan bahawa syarikatnya, SpaceX akan menamatkan penggunaan kapal angkasa Dragon susulan kenyataan Trump mengenai pembatalan kontrak kerajaan.
Pertelingkahan tersebut memberi kesan besar kepada pasaran saham apabila saham Tesla merosot sebanyak 14.3 peratus, menghapuskan kira-kira AS$150 bilion nilai pasaran.
Musk sebelum ini menyumbang lebih AS$250 juta kepada kempen pilihan raya Trump dan pernah menjadi antara penasihat rapat presiden itu.
Ketika mengumumkan pengundurannya dari Washington, Musk merujuk kepada peraturan yang mengehadkan tempoh khidmat kontraktor luar kerajaan kepada 130 hari setahun. - REUTERS