BEIRUT, 6 Jun-Beberapa siri serangan udara Israel di bandar selatan Beirut menyasarkan kilang-kilang dron milik Hizbullah. Menurut AFP, sekurang-kurangnya dua letupan kuat berlaku.
Israel menerusi Telegram dengan bongkak memaklumkan, akan melakukan lagi serangan ke atas tapak infrastruktur pengeluar UAV atau bawah tanah yang dikatakan sengaja didirikan di tengah-tengah kawasan penduduk awam di Beirut.
Presiden Lubnan, Joseph Aoun dalam satu kenyataan pula mengecam pencerobohan Israel itu dan menyatakan pelanggaran secara terang-terangan gencatan senjata yang mula dilaksana sejak 27 November lalu. Tambahnya, serangan itu bukti keengganan Israel menghormati setiap rundingan keamanan yang dilaksanakan.
Israel dan Hizbullah mula bertelagah lebih setahun yang lalu dengan meletusnya perang di Gaza dan sengketa kedua-dua pihak semakin memuncak dalam kempen pengeboman zionis yang sengit dan pencerobohan darat di selatan Lubnan.
Bawah pelaksanaan gencatan senjata itu, tentera Hizbullah terpaksa berundur ke utara sungai Litani, kira-kira 30-kilometer dari sempadan Lubnan.- AFP