fb fb fb fb fb

Pusat agihan bantuan GFH beroperasi semula di Gaza

Rakyat Gaza mengambil bantuan di pusat agihan - Reuters

RAFAH, 6 Jun - Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah organisasi kemanusiaan yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, membuka semula pusat agihan bantuan di Tel Sultan, Rafah.

Operasi disambung selepas lebih 24 jam tapak tersebut ditutup bagi meningkatkan keselamatan dan penyusunan semula susulan insiden serangan selama tiga hari berturut-turut oleh tentera Israel.

Insiden tembakan berhampiran pusat bantuan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin yang berpusu-pusu cuba mendapatkan makanan yang diagih.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kertas siasatan dibuka terhadap insiden ini, manakala Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres menyifatkan serangan ke atas orang awam adalah melampau dan tidak boleh diterima.

Pihak berkuasa Israel mendakwa bahawa mereka hanya melepaskan tembakan ke arah individu yang 'mencurigakan' dan tidak mengikut laluan yang ditetapkan.

Namun saksi dan pasukan perubatan melaporkan, tentera Zionis melepaskan tembakan secara rawak ke arah orang ramai yang sedang mendapatkan bantuan.

Susulan ketegangan yang berlarutan, dunia terus mendesak satu penyelesaian diambil agar bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat tanpa sebarang ancaman serta keganasan. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM