fb fb fb fb fb

Peningkatan kes influenza, penduduk Australia digesa dapatkan vaksin

SYDNEY, 6 Mei- Pihak berkuasa negeri New South Wales (NSW), Australia menggesa orang ramai untuk mendapatkan vaksin menjelang musim selesema.

Ini kerana kes influenza meningkat lebih daripada dua kali ganda dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Laporan pengawasan pernafasan NSW yang dikeluarkan menunjukkan terdapat 1,024 kes influenza baharu pada minggu berakhir 30 April berbanding 478 kes minggu sebelumnya.

"Selain peningkatan kes selesema, pihak hospital melihat lebih ramai penghidap selesema datang dan dimasukkan ke hospital, termasuk dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Sehubungan itu, ibu bapa dinasihat memberi vaksin kepada anak-anak mereka yang berumur antara enam bulan dan lima tahun tanpa berlengah-lengah," lapor AFP.


(Syot layar Fail AFP)

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan menambah demam selesema sedang merebak secara meluas dalam masyarakat, seiring dengan tahap penularan COVID-19 yang tinggi.

Penduduk diberitahu bahawa mereka selamat untuk mendapatkan kedua-dua vaksin COVID-19 dan vaksin selesema pada masa sama.

Australia turut menjangkakan kes COVID-19 kembali melonjak menjelang musim sejuk ini manakala jumlah kematian dan jangkitan COVID-19 semakin meningkat di wilayah New South Wales dan Victoria.

Kedua-dua wilayah itu melaporkan lebih 30,000 kes baru dan 31 kematian.

Secara keseluruhan, terdapat lebih 7,000 kematian akibat COVID-19 di merata Australia.

Menurut pihak berkuasa, mereka diberi amaran bahawa mereka berisiko dijangkiti COVID-19 dan selesema secara serentak.

Ketua Pegawai Kesihatan Queensland berkata jika dijangkiti kedua-dua virus tersebut ia lebih teruk daripada dijangkiti salah satu virus berkenaan.-AFP

Media Baharu