fb fb fb fb fb

Peniaga China catat kerugian akibat Haikui

CHINA, 9 September- Pemilik kedai di kawasan selatan China membersihkan keadaan tunggang-langgang dan mula mengira kerugian yang diakibatkan Taufan Haikui.

Dua hari selepas taufan itu membadai ia turut membawa hujan paling lebat sejak 140 tahun lalu ke Hong Kong. Ia mencatatkan lebih 200 mm penerimaan kadar hujan di wilayah itu.

Menurut media kerajaan, keadaan itu mengakibatkan dua individu maut selain mencederakan lebih 140 penduduk tempatan.

Banjir Shenzhen memusnahkan laluan kereta api bawah tanah dan pengangkutan di daerah Luohu. Biarpun dilanda teruk oleh taufan namun sebahagian bandar itu kembali memulakan aktivitinya.

Di bandar Tangxia kedai-kedai dinaiki air dan jalan-jalan menjadi sungai. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan bot bagi membantu penduduk terjejas.

Zhang Lu, 42, dan pasangannya melakukan kerja-kerja pembersihan akibat banjir yang berlaku.

"Semuanya tenggelam, semuanya," kata Zhang. "Skrin paparan pun semua rosak kan? Serius sangat."

Dia menunjukkan gambar bahagian depan kedai yang separuh tenggelam dan berkata air mencecah paras siling ketika banjir berlaku. Zhang berkata kos untuk membaiki dan menggantikan kerosakan dianggarkan menelan belanja lebih 200,000 yuan.

“Saya membuka kedai ini dengan pinjaman wang,” katanya. "Semuanya dibiayai melalui pinjaman, dan sekarang saya tidak mempunyai apa-apa lagi."

Pentadbiran Meteorologi China menjangka hujan sekejap-sekejap dan lebat itu dijangka berterusan di wilayah selatan Guangdong serta wilayah jiran Guangxi dan pulau Hainan.- REUTERS

(Barang-barang rosak selepas hujan lebat membanjiri bandar Tangxia di Dongguan/REUTERS)

Media Baharu