fb fb fb fb fb

Pengiktirafan Palestin sebagai negara, harapan baharu henti kekejaman

Penduduk Perancis mengecam kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Palestin/ AFP

RAMALLAH, 26 Julai – Kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang menyuarakan hasrat untuk mengiktiraf negara Palestin memberi suntikan semangat kepada rakyat Palestin untuk terus memperjuangkan penghentian penderitaan berpanjangan di Asia Barat.

Nabil Abdel Razak turut berharap agar seluruh dunia turut mengikut jejak langkah Perancis.

"Kami berharap ia akan dilaksanakan, dan kami juga berharap kebanyakan atau semua negara di dunia akan mengikuti langkah Perancis dalam mengiktiraf hak rakyat Palestin," katanya.

Kedai akhbar di dataran utama bandar Tebing Barat itu, beberapa tajuk utama memaparkan pengumuman Presiden Macron yang dibuat lewat malam Khamis.

Aktivis politik Ahmed Ghoneim menyatakan harapan agar langkah Perancis itu dapat mendorong negara-negara Eropah lain untuk turut serta.

Ketika ini sekurang-kurangnya 142 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf negara Palestin.

"Semua keputusan ini bukan sahaja mengesahkan hak rakyat Palestin, malah menyumbang kepada perubahan terhadap realiti kejam yang berlaku di rantau ini dan ia akan membawa kepada kestabilan yang lebih besar," kata Ahmed Ghoneim.

Sementara itu penganalisis politik Nour Odeh menerusi hantaran X berpandangan, tumpuan perlu diberikan kepada isu kebuluran.

"Soalan utama bagi rakyat Palestin sekarang ialah apa yang akan dilakukan oleh Perancis terhadap tindakan Israel yang menyebabkan kebuluran di Gaza," menurut hantaran itu.

Pengarah bersama Institut Diplomasi Awam Palestin (PIPD) Ines Abdel Razek turut bersetuju bahawa isu utama rakyat Palestin ketika ini adalah Gaza dan tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan kemusnahan lebih besar.

"Apa yang sepatutnya dilakukan Perancis ialah memutuskan hubungan dengan Israel dan mengenakan sekatan perdagangan.

"Satu contoh keberanian yang nyata ialah tindakan Presiden Colombia yang meminta tenteranya menyekat kapal yang membawa tenaga dan senjata ke Israel," ujarnya. – AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI