DELVINE, 26 Julai – Sekurang-kurangnya tiga individu cedera akibat kebakaran hutan yang melanda berhampiran bandar Delvine di selatan Albania, sekali gus memaksa pemindahan kira-kira 2,000 penduduk pada Jumaat.
Timbalan Datuk Bandar Delvine, Brunilda Meleqi memaklumkan, ketiga-tiga mangsa mengalami luka melecur dan sesak nafas akibat terhidu asap tebal.
"Penduduk di enam buah kampung telah dipindahkan, manakala sebuah gereja dan 10 rumah tidak berpenghuni musnah dalam kebakaran," katanya menerusi panggilan telefon.
Bagaimanapun, keadaan api dilaporkan semakin reda menjelang petang selepas dua helikopter digerakkan bagi membantu usaha memadam kebakaran.
Menurut Kementerian Pertahanan Albania, seramai 60 anggota tentera turut dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu mengawal api daripada terus merebak.- REUTERS