fb fb fb fb fb

AI bantu lindungi kanak-kanak di Laos daripada pencemaran udara

Alatan yang digunakan untuk mengukur tahap pencemaran udara, disokong penggunaan AI/ REUTERS

VIENTIANE, 26 Julai – Kecerdasan buatan (AI) kini memainkan peranan penting dalam melindungi murid sekolah di Laos daripada bahaya pencemaran udara.

Inisiatif itu dikendalikan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu pencemaran udara di rantau yang mencatatkan lebih 100 kematian kanak-kanak setiap hari akibat pencemaran.

UNICEF sedang memasang peranti pemantauan kualiti udara masa nyata di 148 buah sekolah di seluruh negara itu.

Pengurus Inovasi UNICEF, Shane O’Connor berkata, objektif utama projek ini adalah untuk menggunakan teknologi pembelajaran mesin, sains data dan AI bagi meramalkan kualiti udara di peringkat sekolah.

"Ini membolehkan kami mengetahui bila kualiti udara akan menjadi buruk atau berbahaya untuk kanak-kanak," katanya.

Maklumat masa nyata daripada sensor ini membolehkan pihak sekolah dan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti tahap pencemaran berbahaya dengan cepat dan mengambil langkah berjaga-jaga, sekali gus memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat.

Projek seumpama itu di Thailand menyaksikan penutupan sekolah berdasarkan data dipercayai daripada sensor pencemaran udara.

Pegawai Teknologi untuk Pembangunan UNICEF di Laos, Soheib A. Elsheikh menjelaskan bahawa pemantauan kualiti udara tersebut memfokus kepada zarah halus PM2.5 yang dihantar ke papan pemuka digital secara masa nyata.

"Papan pemuka ini bersumber terbuka dan boleh diakses oleh semua pihak untuk melihat tahap pencemaran di sekolah masing-masing," katanya.

Dengan memanfaatkan teknologi sumber terbuka berasaskan AI, sensor tersebut memantau PM2.5 dan menyediakan data pencemaran secara langsung.

Data berkenaan, digabungkan dengan sumber imej satelit dan pengesanan di darat, digunakan dalam model pembelajaran mesin bagi menganalisis serta meramal corak pencemaran udara di seluruh negara.

Melalui platform data terbuka seperti AirGradient dan OpenAQ, maklumat itu dapat diakses oleh pelajar, guru, ibu bapa, masyarakat setempat untuk tindakan sewajarnya.

Pada masa akan datang, data daripada sensor itu akan digunakan bagi menjana anggaran pencemaran di kawasan tanpa liputan sensor, dengan bantuan AI.

"Kami menggunakan set data terbuka, imejan satelit, data lokasi kebakaran, rangkaian jalan dan tumbuh-tumbuhan. Semua ini digabungkan dalam model AI bagi membuat ramalan yang tepat mengenai bila pencemaran udara akan menjadi berbahaya," jelas O’Connor.

Selain memberi manfaat kesihatan segera, inisiatif itu turut mendidik pelajar tentang sains kualiti udara serta membantu pihak berkuasa dan keluarga melindungi kesihatan kanak-kanak.

"Saya fikir ini juga satu pendekatan yang baik untuk memberi pengetahuan asas tentang AI dan teknologi kepada kanak-kanak dan mungkin dapat menginspirasi mereka," tambah beliau.

UNICEF menganggarkan lebih 100 kematian kanak-kanak bawah lima tahun berlaku setiap hari di rantau Asia Timur dan Pasifik akibat pencemaran udara, dan kira-kira 2,000 kematian setiap hari direkodkan secara global.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI