BEIJING, 23 Mei- Pengawal Pantai China (CCG) mengeluarkan rakaman tindakan yang diambil terhadap aktiviti tidak sah kapal-kapal Filipina berhampiran Zhubi Jiao dan Tiexian Jiao di kepulauan Nansha.
CCG menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran kedaulatan wilayah China dan menggesa Filipina agar segera menghentikan sebarang pencerobohan di kawasan berkenaan.
Jurucakap CCG, Liu Dejun berkata dua kapal Filipina telah menceroboh perairan berhampiran Zhubi Jiao dan Tiexian Jiao tanpa sebarang kebenaran daripada kerajaan China, malah terdapat anggota yang mendarat secara haram di Tiexian Jiao.
Bagaimanapun anggota penguat kuasa CCG telah mengambil tindakan terhadap kapal-kapal tersebut secara profesional dan mengikut undang-undang.
Kira-kira 9.13 pagi hingga 9.14 pagi, salah sebuah kapal Filipina bertindak menghampiri kapal CCG meskipun menerima beberapa amaran daripada pihak China. Susulan itu, anggota CCG menggunakan meriam air sebagai amaran.
Bagaimanapun, kapal Filipina tersebut secara tiba-tiba membelok ke kiri, menyebabkan perlanggaran antara kedua-dua kapal. Liu menegaskan, pihak Filipina perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa China mempunyai kedaulatan ke atas Kepulauan Nansha serta perairan sekitarnya.
Tindakan Filipina dianggap mencabuli kedaulatan wilayah China serta melanggar Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan serta menggugat keamanan dan kestabilan serantau.
China menggesa Filipina agar segera menghentikan sebarang pelanggaran, sambil menegaskan bahawa CCG akan terus melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang bagi mempertahankan kedaulatan dan hak China di perairan bawah bidang kuasa negara itu.- REUTERS