GENEVA 23 Mei- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa Israel agar bersimpati terhadap nasib penduduk di Gaza dan menegaskan keamanan adalah demi kepentingan Israel sendiri.
Berucap pada perhimpunan tahunan WHO di sini, Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan, sebarang serangan oleh Israel tidak akan membawa kepada penyelesaian berkekalan.
"Saya dapat rasakan perasaan orang di Gaza pada masa ini. Saya dapat menghidu, membayangkan dan mendengarnya.
"Ini semua kerana PTSD (gangguan tekanan selepas trauma). Anda boleh bayangkan bagaimana orang menderita," katanya yang sering mengimbas kembali zaman kehidupannya sendiri semasa perang di Ethiopia.
Beliau juga menegaskan, hanya penyelesaian politik boleh membawa keamanan yang bermakna.
"Seruan untuk perdamaian sebenarnya adalah untuk kepentingan Israel sendiri. Saya merasakan perang itu merugikan Israel sendiri dan ia tidak akan membawa penyelesaian berkekalan.
"Saya bertanya jika anda boleh berbelas kasihan. Ia baik untuk anda dan baik untuk rakyat Palestin. Ia baik untuk manusia," katanya.
Tedros turut menyifatkan tindakan rejim Israel menyekat bekalan perubatan dan makanan ke Gaza sebagai satu bentuk kesalahan.
Semalam, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mula mengagihkan kira-kira 90 trak bantuan yang merupakan penghantaran pertama ke Gaza sejak Israel mengenakan sekatan menyeluruh pada 2 Mac lalu.
Sementara itu, Pengarah Kecemasan WHO Michael Ryan memberi amaran 2.1 juta orang di Gaza kini dalam bahaya.
"Kita perlu menamatkan kebuluran. Kita juga perlu membebaskan semua tebusan dan perlu membekalkan semula dan membawa sistem kesihatan kembali stabil," katanya.
Terdahulu, WHO dalam kenyataan memaklumkan, penduduk Gaza sedang mengalami kekurangan makanan, air, bekalan perubatan, bahan api dan tempat tinggal yang teruk.
Empat hospital utama terpaksa menangguhkan perkhidmatan perubatan pada minggu lalu akibat arahan pemindahan dan serangan Israel.
Hanya 19 daripada 36 hospital di Gaza masih beroperasi, dengan kakitangan bekerja dalam "keadaan yang mustahil".
Sekurang-kurangnya 94 peratus daripada semua hospital di Gaza rosak atau musnah. - AFP