NEW DELHI, 27 Mei- Polis India hari ini berkata mereka telah menahan seorang doktor dan pemilik sebuah hospital tidak berlesen di mana enam bayi baru lahir maut dalam kebakaran.
Kebakaran berlaku di hospital New Born Baby Care di kawasan Vivek Vihar,New Delhi lewat petang Sabtu.
Pada minit-minit pertama, orang ramai dilihat mengharungi api untuk menyelamatkan bayi yang baru lahir di dalam hospital tersebut.
Vinod Sharma, yang kehilangan bayi lelakinya yang berusia sehari dalam kebakaran itu menyalahkan pihak berkuasa hospital atas tragedi itu.
“Dia mengalami masalah pernafasan. Doktor telah mengatakan bahawa dia akan baik-baik saja dalam beberapa hari lagi.
"Kami tidak tahu bahawa hospital akan membunuhnya," kata Sharma dipetik dari akhbar Indian Express.
Kebakaran adalah perkara biasa di India disebabkan oleh kesesakan dan kekurangan pematuhan kepada peraturan keselamatan.
Pegawai kanan polis, Surendra Chaudhary memberitahu AFP bahawa hospital itu "tidak mempunyai sistem pintu api".
Katanya, lesen hospital itu telah tamat tempoh pada Mac dan pemiliknya telah memenuhi ruang wad dengan semaksimumnya.
"Pihak hospital mempunyai kebenaran sehingga lima katil tetapi mereka telah memasang lebih daripada 10 katil.
"Memandangkan semua ini, kami telah membuat tangkapan," katanya.
Lima bayi yang terselamat dari kebakaran itu masih menerima rawatan di hospital lain.
Kebakaran hospital ini berlaku sehari selepas 27 orang terbunuh dalam kebakaran di sebuah pusat hiburan di negeri barat Gujarat.
Kedua-dua kebakaran itu berlaku ketika utara India dicengkam bahang panas, dengan suhu di Delhi mencecah 46.8 darjah Celsius pada Sabtu, menurut Jabatan Meteorologi India. — AFP