fb fb fb fb fb

Penerbangan keluar masuk ke Bali kembali beroperasi

Foto AFP

BALI, 20 Jun - Semua penerbangan keluar masuk ke Bali, Indonesia kembali beroperasi pada Khamis selepas tergendala susulan berlakunya letusan Gunung Lewotobi Laki-laki di wilayah Nusa Tenggara Timur.

Menurut pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Bali, sebanyak 87 penerbangan telah terjejas pada Rabu, merangkumi 66 penerbangan antarabangsa dan 21 penerbangan domestik.

Bagaimanapun, penerbangan pada Khamis telah kembali beroperasi seperti biasa ke beberapa destinasi termasuk Australia, Vietnam, Singapura, Malaysia dan China.

"Sehingga kini, semua operasi berjalan lancar, melibatkan ketibaan dan pelepasan penerbangan," katanya dalam kenyataan media.

Syarikat penerbangan Qantas dan penerbangan tambang rendahnya, JetStar, turut memaklumkan bahawa jadual penerbangan mereka kembali seperti biasa.

AirAsia Malaysia dan AirAsia Indonesia pula memaklumkan bahawa beberapa penerbangan mereka ke dan dari Bali, Lombok dan Labuan Bajo yang sebelum ini dibatalkan sejak Rabu telah disambung semula.

Selain itu, dua lapangan terbang di wilayah Nusa Tenggara Timur yang sebelum ini ditutup sementara juga telah dibuka semula kepada operasi penerbangan.

Namun, Lapangan Terbang Fransiskus Xaverius Seda di Pulau Flores kekal ditutup sehingga Jumaat berikutan masih terdapat abu gunung berapi di ruang udara yang boleh membahayakan penerbangan, menurut kenyataan operator lapangan terbang itu di media sosial.

Menurut agensi vulkanologi Indonesia, Gunung Lewotobi telah meletus sebanyak 427 kali sepanjang tahun ini, dimana letusan yang memuntahkan abu setinggi 11 kilometer ke udara pada Selasa lalu merupakan yang terbesar sejak November tahun lepas. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM