fb fb fb fb fb

Konflik Israel-Iran : Australia gantung operasi kedutaan di Tehran

Foto FB Penny Wong

CANBERRA, 20 Jun - Australia telah menggantung operasi kedutaannya di Tehran berikutan persekitaran keselamatan yang semakin merosot di Iran.

Menteri Luar, Penny Wong menerusi satu kenyataan hari ini turut mengarahkan semua pegawai kerajaan Australia untuk meninggalkan negara itu serta merta.

Bagaimanapun katanya, Duta Besar Australia ke Iran akan kekal berada di rantau berkenaan bagi menyokong usaha tindak balas kerajaan terhadap krisis yang sedang berlaku.

“Kami sedang meneruskan perancangan bagi membantu rakyat Australia yang mahu meninggalkan Iran, dan kami juga sentiasa berhubung rapat dengan negara rakan kongsi lain,” kata Wong.

Dalam pada itu, Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia (DFAT) turut menggesa rakyatnya yang berada di Iran untuk segera meninggalkan negara itu.

“Mereka yang ingin keluar dari Iran digesa berbuat demikian sekarang sekiranya selamat, dan jika tidak, sila berlindung di tempat masing-masing,” menurut kenyataan DFAT yang dimuat naik di platform X pada Rabu.

Langkah ini menjadikan Australia antara negara terkini yang mengambil tindakan drastik terhadap situasi keselamatan yang kian meruncing di Iran, susulan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di rantau Asia Barat. - REUTERS

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM