AFRIKA SELATAN, 20 Jun- Sebanyak 10 ekor badak sumbu hitam yang tergolong dalam spesies terancam berjaya dipindahkan dari Afrika Selatan ke Taman Negara Zinave, Mozambique.
Pemindahan tersebut sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha pemuliharaan hidupan liar di rantau itu.
Operasi pemindahan berkenaan merupakan hasil kerjasama antara pihak berkuasa Afrika Selatan dan Mozambique, bersama-sama Yayasan Peace Parks, dengan matlamat mewujudkan populasi pembiakan badak sumbu hitam pertama di Mozambique dalam tempoh lebih 50 tahun.
Pengasas Conservation Solutions Kester Vickery berkata, usaha pemuliharaan sedang dilakukan bagi mengelakkan spesies terancam itu daripada kepupusan.
"Malangnya, di Mozambique terdapat kurang daripada 20 ekor badak sumbu hitam. Afrika Selatan mempunyai populasi badak sumbu hitam yang sihat.
"Salah satu matlamat utama kami sekarang adalah untuk memindahkan sebahagian haiwan ini ke taman perlindungan yang baik di Mozambique, iaitu Zinave."
Proses pemindahan haiwan berkenaan termasuk memanah ubat pelali, memotong tanduk bagi tujuan perlindungan, serta pengangkutan menggunakan peti khas yang sesuai untuk perjalanan selama 48 jam dari Taman Hluhluwe iMfolozi di Afrika Selatan ke Taman Negara Zinave.
Sekiranya 10 ekor badak sumbu hitam itu tiba di ZInave, ia menjadikan rekod jumlah haiwan berkenaan melebihi daripada 20 ekor.
Angka tersebut dianggap penting dalam usaha memastikan kepelbagaian genetik dan kelangsungan jangka panjang badak sumbu hitam.
Pengurus Program bagi Yayasan Peace Parks, Antony Alexander berkata, haiwan tersesbut dianggap istimewa berbanding badak sumbu putih.
"Badak sumbu hitam sangat istimewa. Spesies itu jarang ditemukan dan lebih terancam berbanding badak sumbu putih. Pemindahan ini membawa mereka kembali ke habitat asal mereka.
"Taman Negara Zenavi mempunyai sejarah badak sumbu hitam. Lokasi berkenaan merupakan habitat yang sangat sesuai untuk kawanan haiwan itu selain keadaan semak yang menjadi pilihan spesies mamalia berkenaan.
"Jadi pemindahan ini merupakan sesuatu yang bertepatan dengan usaha pemuliharaan haiwan tersebut kerana meletakkan spesies itu kembali ke habitat sesuai," katanya.
Pemindahan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan semula di Taman Negara Zinave.
Usaha yang telah dilakukan sejak 2015 itu, menyaksikan lebih 2,500 haiwan daripada 16 spesies berbeza dipulihara semula.
Projek berkenaan turut disokong UK People's Postcode Lottery dengan tujuan memulihkan biodiversiti dan menggalakkan pelancongan lestari di rantau tersebut.- REUTERS