WASHINGTON, 20 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump buat kali ketiga akan memberikan tempoh lanjutan selama 90 hari lagi kepada syarikat pengendali aplikasi TikTok, ByteDance untuk mencari pembeli bukan dari China.
Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt berkata, Presiden Trump akan menandatangani satu lagi Perintah Eksekutif minggu ini untuk memastikan TikTok kekal beroperasi.
"Beliau memberi lebih masa untuk mencapai satu perjanjian yang baik. Lanjutan itu akan digunakan untuk memastikan perjanjian penjualan diselesaikan dan rakyat AS boleh terus menggunakan TikTok dengan keyakinan bahawa data mereka selamat," katanya kepada wartawan dalam satu taklimat pada Khamis.
Trump sebelum ini telah menggunakan media sosial secara meluas semasa kempen pilihan raya 2024 menyatakan bahawa beliau mahu aplikasi itu kekal beroperasi di AS.
Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa Presiden China, Xi Jinping, akan meluluskan satu perjanjian yang mengekalkan aplikasi tersebut, walaupun masih belum jelas sejauh mana isu ini menjadi fokus dalam rundingan antara kedua-dua negara dalam mencari penyelesaian pertikaian tarif.
ByteDance pula mengesahkan sedang berunding dengan kerajaan AS dan sebarang perjanjian perlu mendapat kelulusan di bawah undang-undang China.
"Kami bersyukur atas kepimpinan dan sokongan Presiden Trump dalam memastikan TikTok terus beroperasi," platform tersebut menyatakan demikian dalam satu hantaran di laman sesawangnya.
Di bawah undang-undang persekutuan AS, TikTok sepatutnya dijual atau diharamkan atas alasan melindungi keselamatan negara, sehari sebelum pelantikan Trump pada Januari lalu.
Namun, ketika mula mengambil alih jawatan presiden, Trump melanjutkan tempoh 75 hari sebelum memberi lanjutan kedua yang tamat pada 19 Jun. - REUTERS