SAN ANTONIO, 20 Jun - Chile kini menjadi negara kedua di dunia selepas China yang memiliki jumlah bas elektrik paling banyak dalam sistem pengangkutan awamnya.
Ini selepas negara itu menerima sebanyak 300 unit bas elektrik baharu, menjadikan keseluruhan jumlah armada pengangkutan awamnya kini adalah sebanyak 3,339 buah.
Menurut Pengarah Pengangkutan Awam Metropolitan, Paola Tapia, kerajaan menyasarkan sebanyak 4,400 bas elektrik menjelang Mac 2026 dan seterusnya merancang untuk menggantikan keseluruhan bas pengangkutan kepada elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2040.
"Buat masa ini, kebanyakan bas akan beroperasi di ibu negara, Santiago, yang menempatkan lebih separuh daripada 20 juta penduduk negara ini. Namun, kerajaan akan meluaskan penggunaan bas elektrik ke bandar-bandar lain termasuk Concepción di selatan, serta Antofagasta dan Iquique di utara," katanya.
Bas-bas baharu berwarna merah dan putih yang dilengkapi dengan kemudahan Wi-fi dan penyaman udara itu dianggarkan bernilai sekitar US$250,000 setiap satu.
Kementerian Pengangkutan turut memaklumkan bahawa sebelum ini, satu kumpulan lain melibatkan 300 bas dari China telah tiba di pelabuhan San Antonio, bulan Mei lalu.
Kini, sekitar 2,500 bas elektrik telah beroperasi di Santiago, merangkumi 38 peratus daripada keseluruhan bas awam yang membawa 2.5 juta penumpang setiap hari.
Menteri Pengangkutan Chile, Juan Carlos Muñoz berkata, pencapaian ini membuktikan bahawa peralihan kepada kenderaan elektrik adalah langkah yang wajar dilaksanakan dan penting dalam usaha menangani perubahan iklim.
Melihat kembali pada tahun 2017 katanya, hanya dua bas elektrik beroperasi di Santiago dan apabila Presiden Gabriel Boric memulakan pentadbirannya pada 2022, jumlah itu meningkat kepada 700 unit.
Sepuluh tahun lalu, sistem bas menyumbang kira-kira 30 peratus daripada pelepasan bahan pencemar di negara itu dan dengan inisiatif peralihan ini, sumbangannya telah berkurang kepada hanya 3 peratus. - AFP