fb fb fb fb fb

Kekejaman kanak-kanak di zon konflik capai tahap terburuk

Kanak-kanak diancam kebuluran di Gaza - Foto AFP

NEW YORK, 20 Jun – Kekejaman terhadap kanak-kanak di zon konflik global pada tahun lalu mencapai tahap yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.

Laporan tahunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan hari ini menyatakan bahawa berlaku peningkatan sebanyak 25 peratus dalam jumlah pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak berbanding tahun 2023.

Menurut Setiausaha Agung PBB, António Guterres menerusi laporan itu, sebanyak 41,370 penindasan serius terhadap kanak-kanak direkodkan, menjadikannya angka tertinggi sejak mekanisme pemantauan diwujudkan hampir 30 tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 36,221 pelanggaran berlaku pada 2024, manakala 5,149 lagi baru disahkan pada tahun 2024 tetapi ianya telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya.

Lebih 4,500 kanak-kanak terbunuh dan 7,000 cedera, menjadikan mereka terus menjadi mangsa utama keganasan tanpa diskriminasi dalam konflik bersenjata.

“Penderitaan 22,495 kanak-kanak yang tidak bersalah, yang sepatutnya sedang menikmati hidup dengan belajar atau bermain, kini dipaksa untuk bertahan daripada peluru dan letupan, seharusnya menggugat ketenangan kita semua,” kata Virginia Gamba, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Kanak-Kanak dan Konflik Bersenjata.

Wilayah Palestin mencatatkan jumlah pelanggaran tertinggi, dengan lebih 8,500 kes, kebanyakannya disebabkan oleh tindakan tentera Israel, termasuk lebih 4,800 kes di Genting Gaza sahaja.

Kezaliman tentera Israel juga turut disebut dalam operasi ketenteraannya di Lubnan, di mana lebih 500 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera pada tahun lalu.

Negara lain yang turut mencatat tahap pelanggaran hak tertinggi termasuk Republik Demokratik Congo dengan lebih 4,000 kes;
Somalia lebih 2,500 kes; Nigeria hampir 2,500 kes dan Haiti dengan lebih 2,200 kes.

Dalam lampiran laporan, senarai yang digelar “senarai aib” menamakan pelaku pelanggaran hak kanak-kanak, termasuk Gabungan Geng Haiti "Viv Ansanm", yang menyumbang kepada peningkatan 490% dalam pelanggaran seperti pembunuhan, rogol berkumpulan dan pengambilan kanak-kanak sebagai ahli kumpulan.

Selain itu, kartel dadah Colombia "Clan del Golfo" turut disenaraikan atas kesalahan merekrut kanak-kanak di samping Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang terus kekal dalam senarai kerana konflik berterusan di negara itu.

Tentera Rusia juga kekal dalam senarai disebabkan pelanggaran hak di Ukraine, dengan peningkatan 105% kes pelanggaran serius pada tahun 2024 berbanding 2023.

Laporan ini juga merangkumi pelanggaran terhadap kanak-kanak di lebih 20 zon konflik di seluruh dunia, termasuk pembunuhan, kecederaan, pengambilan sebagai tentera, penculikan, keganasan seksual dan sekatan bantuan kemanusiaan. - AFP

SYUHADA BINTI CHEK HASHIM