fb fb fb fb fb

Penerbangan Colombia kembali beroperasi seperti biasa

Penerbangan di Colombia kembali beroperasi seperti biasa selepas kebimbangan mengenai stok bahan api / Foto AFP

BOGOTA, 27 Ogos - Penerbangan di Colombia kembali beroperasi seperti biasa selepas kebimbangan mengenai stok bahan api menyebabkan pembatalan penerbangan pada Isnin.

Syarikat penerbangan Avianca membatalkan 24 penerbangan, manakala LATAM, syarikat penerbangan terbesar di Amerika Latin, turut membatalkan 36 penerbangan yang dijadualkan pada Selasa.

Menurut Avianca, pembatalan penerbangan tersebut disebabkan oleh had penghantaran minyak tanah yang dikenakan oleh pembekal sepanjang bulan ini.

Penerbangan Avianca ke Sao Paulo, Santiago, Mexico City, dan Cancun turut terjejas.

Bagaimanapun, kedua-dua syarikat penerbangan tersebut telah memulihkan operasi pada Isnin selepas menerima jaminan bahawa bekalan bahan api akan diteruskan tanpa gangguan.

Kerajaan Colombia menafikan berlaku kekurangan stok bahan api dan menyalahkan pengedar bahan api, Terpel, yang dimiliki oleh syarikat minyak Chile, Copec, kerana tidak menjalankan tugasnya.

Terpel pula menyalahkan masalah di kilang penapisan Reficar di Cartagena, yang dimiliki oleh syarikat minyak negara, Ecopetrol.

Ecopetrol mengesahkan bahawa kegagalan elektrik antara 16 hingga 18 Ogos telah menjejaskan pengeluaran di Reficar.

Presiden, Gustavo Petro menegaskan masalah di kilang penapisan itu telah diperbaiki tanpa menjejaskan operasi penerbangan.

Beliau turut menambah bahawa laporan yang mengaitkan pembatalan penerbangan dengan gangguan elektrik Reficar pada 16 Ogos adalah tidak tepat.

Ecopetrol juga memaklumkan akan mengimport 100,000 tong bahan api penerbangan, yang mungkin menyebabkan peningkatan harga tiket.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) turut memberi amaran bahawa kekurangan bahan api akan menyebabkan pembatalan penerbangan dan mengurangkan bilangan penumpang bagi setiap penerbangan.

Pihak berkuasa lapangan terbang Aerocivil menegaskan bahawa stok bahan api jet adalah mencukupi, sementara Petro memaklumkan bahawa siasatan oleh pengawal selia pasaran akan dijalankan.

Pembangkang telah menuduh Presiden Petro, yang berusaha mengurangkan kebergantungan ekonomi Colombia terhadap eksport minyak, kerana melantik individu yang tidak berpengalaman untuk mengetuai Ecopetrol.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN