fb fb fb fb fb

Operasi bantuan PBB di Gaza terhenti, Israel arah berpindah

Penduduk Palestin yang dipindahkan melarikan diri selepas arahan pemindahan baharu oleh tentera Israel, di Deir al-Balah di tengah Semenanjung Gaza/ REUTERS

GAZA, 27 Ogos- Operasi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Gaza pada Isnin terhenti selepas Israel mengeluarkan arahan baharu agar orang ramai berpindah dari Deir Al-Balah.

Kawasan tengah Semenanjung Gaza itu juga merupakan tempat terletaknya pusat operasi PBB, kata seorang pegawai kanan PBB.

Israel mengeluarkan arahan tersebut ketika PBB membuat persiapan untuk menjalankan satu kempen vaksinasi bagi sekitar 640,000 kanak-kanak.

Kempen yang dijangka bermula pada Sabtu itu dijalankan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa seorang bayi 10 bulan menjadi lumpuh akibat virus polio jenis 2 yang menjadi kes pertama di wilayah berkenaan dalam tempoh 25 tahun.

"Kami tidak dapat menjalankan penghantaran bantuan hari ini disebabkan keadaan yang dihadapi," ujar seorang pegawai kanan PBB yang tidak mahu identitinya didedahkan.

"Setakat pagi tadi, kami tidak dapat menjalankan operasi penghantaran bantuan di Gaza," ujarnya.

PBB memindahkan pusat operasi utamanya di Semenanjung Gaza ke Deir Al-Balah beberapa bulan lalu, selepas Israel mengarahkan agar orang ramai berpindah dari Rafah.

Kebanyakan anggota PBB juga kini berada di Deir Al-Balah.

Pegawai kanan PBB berkata para kakitangan di lapangan bagaimanapun sudah diarah cuba untuk mencari cara bagi meneruskan operasi.

Beliau menambah, operasi-operasi PBB belum digantung secara rasmi.

Seorang pengarah kanan di lapangan bagi Agensi PBB bagi para pelarian Palestin (UNRWA), Sam Rose, mendedahkan bahawa agensi tersebut masih berusaha untuk menawarkan pelbagai khidmat bantuan.

Namun agensi itu tidak menafikan bahawa pihaknya tetap berdepan masalah sama, sekali pun cara UNRWA beroperasi adalah berbeza daripada seluruh sistem PBB yang lain.

"Kami terpaksa ke kawasan-kawasan Gaza yang lebih kecil. Zon kemanusiaan yang diisytiharkan Israel sudah semakin kecil. Ia kini sekitar 11 peratus daripada seluruh Gaza. Namun, tapak(yang ditetapkan sebagai zon kemanusiaan tidak sesuai untuk didiami dan menjalankan perkhidmatan," ujar Sam.

PBB menyatakan pada dua bulan lalu menerusi Program Makanan Sedunia (WFP) pihaknya berjaya membawa hanya separuh daripada 24,000 tan metrik bantuan makanan yang diperlukan untuk diagihkan kepada 1.1 juta orang.

Usaha membantu para penduduk terhambat oleh konflik yang memburuk, bilangan lintasan sempadan yang terhad, serta jalan raya yang musnah.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI