fb fb fb fb fb

Biden kecam serangan Rusia ke atas grid tenaga Ukraine

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengutuk serangan "keterlaluan" Rusia terhadap grid tenaga Ukraine pada Isnin / Foto Reuters

WASHINGTON, 27 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, mengutuk serangan "keterlaluan" Rusia terhadap grid tenaga Ukraine pada Isnin, dengan menegaskan bahawa Moscow tidak akan berjaya dalam perang yang berterusan dan berjanji untuk terus menyokong Kiev.

Rusia dilaporkan melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke atas Ukraine, menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan merosakkan grid tenaga yang sudah lemah di negara itu.

Pegawai Ukraine turut memaklumkan bahawa serangan tersebut menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang meluas.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya peperangan berterusan Rusia terhadap Ukraine dan usaha mereka untuk menenggelamkan rakyat Ukraine dalam kegelapan," kata Biden dalam kenyataannya.

Beliau juga menegaskan bahawa "Rusia tidak akan pernah berjaya di Ukraine, dan semangat rakyat Ukraine tidak akan pernah dipatahkan."

Serangan tersebut merupakan yang terbesar oleh Moscow dalam beberapa minggu terakhir dan berlaku selepas Kiev mendakwa kemajuan baru dalam serangan balas di wilayah Kursk, Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia mengesahkan bahawa serangan tersebut mensasarkan kemudahan tenaga di Ukraine, dengan mendakwa bahawa kemudahan itu digunakan untuk menyokong "kompleks pengeluaran ketenteraan" Ukraine.

Menurut Biden, "Pegawai Ukraine melaporkan bahawa serangan keterlaluan ini menyebabkan kematian orang awam dan mensasarkan lebih daripada dua dozen tapak tenaga kritikal."

Serangan pada awal pagi Isnin itu turut mencederakan lebih daripada 20 orang di seluruh negara, menurut pegawai Ukraine.

Kenyataan Biden ini menyusul selepas kecaman terdahulu oleh jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, John Kirby, yang mengutuk "usaha untuk menenggelamkan rakyat Ukraine dalam kegelapan semasa musim luruh ini."-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN