fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Australia diarah pindah kawasan lebih tinggi

Peramal cuaca Australia memberi amaran "bahaya banjir dan mengancam nyawa" di Cairns/FOTO QUEENSLAND POLICE

SYDNEY, 17 Disember - Pihak berkuasa Australia mengarahkan ribuan penduduk di utara Queensland berpindah ke kawasan yang lebih tinggi kerana berdepan risiko bahaya banjir selepas hujan lebat.

Pihak berkuasa negeri berkata banjir besar sedang berlaku di beberapa pinggir bandar Cairns iaitu salah sebuah hab pelancongan dan pintu masuk ke Great Barrier Reef, kira-kira 1,700 km (1,056 batu) utara ibu negara Brisbane.

"Penduduk di kawasan berkenaan mungkin mengalami banjir dengan air pasang besar dan hujan berterusan. Penduduk perlu berpindah ke kawasan yang lebih tinggi sekarang," kata Pasukan Bomba dan Kecemasan Queensland di laman webnya.

Peramal cuaca Australia memberi amaran "bahaya banjir dan mengancam nyawa" di Cairns, iaitu pintu masuk ke Terumbu Karang Besar.

Paras air juga mungkin mencecah lebih daripada paras banjir yang pernah direkodkan pada 1971 iaitu 4.1 meter.

Kumpulan Pengurusan Bencana Tempatan Cairns menyatakan terdapat rumah-rumah, bangunan, jalan raya dan jambatan kini sudah ditenggelami air.

"Bekalan elektrik, air, pembetungan dan telefon mungkin tidak dapat berfungsi di kawasan tersebut," tambah agensi itu menerusi kenyataan. 

Hujan lebat dijangka berterusan sehingga Ahad ini dan pihaknya akan memantau rapi keadaan dari semasa ke semasa. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN