fb fb fb fb fb

Modi gesa siasatan Parlimen, bukan perdebatan

Anggota pasukan keselamatan berkawal di luar Parlimen/REUTERS

MUMBAI, 17 Disember- Perdana Menteri India Narendra Modi menggesa siasatan terperinci berhubung pelanggaran keselamatan parlimen utama minggu lalu, menentang tuntutan parti pembangkang untuk perbahasan dalam dewan berhubung insiden itu.

"Apa yang berlaku sangat serius," kata Modi kepada akhbar Dainik Jagran dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Ahad.

"Tidak perlu membahaskan perkara ini, perlu ada siasatan terperinci mengenai perkara ini," katanya

Polis menahan enam individu dan memfailkan pertuduhan keganasan terhadap mereka. Perkara itu berikutan gangguan yang dilakukan oleh dua orang ketika anggota sedang bersidang dengan menjerit slogan dan membuat kekacauan. Namun kedua-duanya ditangkap anggota keselamatan.

Ahli parlimen berkata kepada media tempatan, dua lelaki itu telah melaungkan slogan "kediktatoran tidak akan diterima". Bagaimanapun keluarga keempat-empat suspek memberitahu media perkara tersebut dilakukan kerana tidak dapat mencari pekerjaan dan menganggur dalam tempoh yang lama.

Empat belas penggubal undang-undang telah digantung tugas kerana mengganggu prosiding parlimen dengan menuntut perbincangan dan kenyataan Menteri Dalam Negeri Amit Shah mengenai insiden itu.

Speaker dewan rendah parlimen turut mengumumkan semakan keselamatan, dan kerajaan berkata parti pembangkang cuba mempolitikkan insiden itu.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI