fb fb fb fb fb

Penduduk Tehran dikejutkan dengan kerosakan, serpihan selepas serangan Israel

Kereta rosak selepas serangan Israel ke atas Tehran/ REUTERS

TEHRAN, 13 Jun- Penduduk di ibu negara Iran dikejutkan dengan kerosakan dan serpihan bangunan pada pagi Jumaat, susulan serangan udara yang dilakukan Israel ke atas beberapa sasaran nuklear di seluruh Iran.

Seorang saksi di bandar Natanz melaporkan terdengar beberapa letupan berhampiran fasiliti tersebut, manakala seorang pegawai kanan Iran memaklumkan bahawa kepimpinan tertinggi negara itu sedang mengadakan mesyuarat keselamatan tergempar.

Sementara itu rakaman yang disiarkan oleh media rasmi Iran menunjukkan sebuah bangunan rosak teruk di kawasan perumahan yang dilaporkan sebagai kejiranan Shahid Mahallati, Tehran.

Kelihatan serpihan bertaburan di jalan-jalan sekitar kawasan tersebut, dengan orang ramai berkumpul dalam keadaan cemas.

Televisyen negara Iran turut melaporkan beberapa letupan kuat kedengaran di sekitar Tehran, dan sistem pertahanan udara negara itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya.

Israel turut menyasarkan komander tentera Iran dan kilang peluru berpandu selain mengisytiharkan darurat.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI