WASHINGTON, 13 Jun – Amerika Syarikat (AS) memutuskan untuk tidak menghentikan operasi pesawat Boeing 787 buat masa ini susulan nahas tragis membabitkan sebuah pesawat Air India yang telah meragut lebih 240 nyawa.
Keputusan itu diumumkan Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy dan Pemangku Ketua Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), Chris Rocheleau dalam satu sidang media khas.
Menurut mereka, setakat ini tiada sebarang bukti atau data keselamatan segera yang menunjukkan keperluan untuk menggantung operasi model pesawat tersebut.
“Kami telah meneliti rakaman video nahas dan sedang menilai semua maklumat yang ada. Buat masa ini, tiada alasan kukuh untuk menghentikan penerbangan Boeing 787,” ujar Duffy.
Tambah beliau, satu pasukan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dan FAA, dengan sokongan daripada syarikat Boeing dan pengeluar enjin GE Aerospace, akan dihantar ke India bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut.
“FAA sedang menyemak maklumat secara terperinci bersama Boeing dan GE Aerospace sebagai sebahagian daripada siasatan,” jelas Duffy.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan AS terhadap keselamatan penerbangan awam dan bersedia mengambil sebarang tindakan yang perlu jika terdapat syor baharu hasil siasatan.
“Kami akan mengikut fakta dan mengutamakan keselamatan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Chris Rocheleau memaklumkan FAA akan terus memantau perkembangan siasatan dan akan melaksanakan tindakan mitigasi sekiranya terdapat risiko keselamatan yang dikenal pasti.
“Jika wujud sebarang maklumat baharu mengenai risiko, kami akan segera mengambil langkah untuk mengurangkan risiko itu,” katanya.
FAA turut menyatakan kesediaan untuk menghantar lebih banyak sumber teknikal ke India sekiranya diperlukan bagi memastikan siasatan berjalan lancar dan keselamatan awam terus terpelihara.-REUTERS