fb fb fb fb fb

Operasi “Rising Lion”: Israel lancar serangan besar-besaran ke atas Iran

Foto REUTERS

TEHRAN, 13 Jun-Israel mengesahkan telah melancarkan serangan terhadap sasaran nuklear Iran dalam usaha menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear.

Operasi yang dikenali sebagai “Rising Lion” turut menyasarkan komander tentera Iran dan kilang peluru berpandu.

Negara itu turut mengisytiharkan darurat sebagai persediaan menghadapi serangan balas misil dan dron dari Iran.

“Kita berada pada saat penentu dalam sejarah Israel,” kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dalam satu kenyataan video yang dirakam.

Netanyahu menyatakan bahawa Israel juga menyasarkan saintis nuklear Iran yang terlibat dalam pembangunan bom nuklear, program peluru berpandu balistik, serta kemudahan pengayaan uranium di Natanz.

Beliau berkata operasi ini akan berterusan selama beberapa hari.

Seorang pegawai tentera Israel berkata mereka sedang menyerang “puluhan” sasaran nuklear dan ketenteraan.

Beliau mendakwa Iran kini mempunyai bahan yang mencukupi untuk membina 15 bom nuklear dalam tempoh beberapa hari.

“Berikutan serangan Israel terhadap Iran, kami menjangkakan serangan misil dan dron oleh Iran terhadap Israel dan penduduk awam akan berlaku dalam masa terdekat,” kata Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, berkata Israel bertindak secara unilateral kerana merasakan ia perlu untuk tujuan mempertahankan diri.

“Malam ini, Israel bertindak sendiri terhadap Iran. Kami tidak terlibat dalam serangan tersebut, dan keutamaan kami adalah melindungi anggota tentera Amerika di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

“Biar saya jelaskan: Iran tidak sepatutnya menyasarkan kepentingan atau rakyat Amerika Syarikat.”

CNN turut melaporkan bahawa Presiden AS, Donald Trump, telah memanggil mesyuarat kabinet susulan serangan itu.

Harga minyak mentah naik lebih US$3 setong susulan berita tersebut.

Pegawai AS dan Iran sebelum ini dijadualkan mengadakan pusingan keenam rundingan mengenai program pengayaan uranium Iran di Oman pada Ahad, menurut pegawai dari kedua-dua negara dan perantara dari Oman.

Namun, rundingan tersebut dilaporkan buntu.

Trump pada Khamis berkata serangan Israel terhadap Iran “sangat mungkin berlaku” tetapi menegaskan beliau masih berharap akan penyelesaian secara aman.

Sumber perisikan AS berkata bahawa Israel sedang membuat persiapan untuk menyerang kemudahan nuklear Iran, dan beberapa pegawai AS yang enggan dinamakan memaklumkan bahawa serangan boleh berlaku dalam masa beberapa hari.

Tentera AS sedang merancang bagi menghadapi pelbagai kemungkinan di Asia Barat, termasuk kemungkinan pemindahan warga awam Amerika, menurut seorang pegawai AS yang bercakap kepada Reuters secara tidak rasmi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD