fb fb fb fb fb

Komander Pengawal Revolusi Iran antara terbunuh dalam serangan Israel

Komander Tertinggi Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami / Foto REUTERS

TEHRAN, 13 Jun 2025 – Media negara Iran hari ini mengesahkan bahawa Komander Tertinggi Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Mejar Jeneral Hossein Salami, terbunuh dalam satu serangan oleh rejim Israel.

“Mejar Jeneral Hossein Salami, ketua Pengawal Revolusi Islam, telah syahid dalam serangan rejim Israel ke atas ibu pejabat IRGC,” lapor agensi berita tempatan Tasnim.

Pengawal Revolusi Iran merupakan antara institusi kuasa utama dalam struktur teokrasi negara itu dan turut mengawal seluruh persenjataan peluru berpandu balistik milik Iran.

Dua saintis nuklear terkemuka Iran, Fereydoun Abbasi-Davani dan Mohammad Mehdi Tehranchi turut disahkan terbunuh dalam siri serangan udara Israel pada Jumaat, menurut laporan media rasmi Iran.

Israel melancarkan serangan awal pagi Jumaat ke atas kemudahan nuklear Iran, kilang peluru berpandu balistik dan komander tentera sebagai permulaan kepada operasi yang dijangka berpanjangan. Tujuan operasi itu, menurut Israel, adalah untuk menghalang Tehran membina senjata nuklear.

Sementara itu, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan selamat dan terus menerima taklimat berkala mengenai situasi semasa, menurut sumber keselamatan kepada Reuters.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD