fb fb fb fb fb

Serang sasaran strategik Iran, ruang udara Asia Barat dikosongkan

Foto Reuters

TEHRAN, 13 Jun - Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila ruang udara Iran dan Israel dilaporkan hampir kosong susulan pengumuman Israel bahawa ia telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas kemudahan strategik Iran.

Laman penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat komersial mengelak sepenuhnya daripada melalui ruang udara kedua-dua negara.

Serangan oleh Israel itu menyasarkan kemudahan nuklear, kilang peluru berpandu balistik serta pegawai kanan ketenteraan Iran, sebagai sebahagian daripada operasi berpanjangan bagi menghalang Tehran membina senjata nuklear.

Laporan Axios yang memetik pegawai kanan Israel turut mendedahkan bahawa agensi perisikan Mossad telah melancarkan beberapa operasi sabotaj rahsia di dalam Iran, termasuk ke atas tapak peluru berpandu strategik dan sistem pertahanan udara negara itu.

Media rasmi Iran melaporkan, Ketua Pengawal Revolusi elit, Hossein Salami, telah terbunuh dalam serangan tersebut.

Ibu pejabat pasukan itu di Tehran turut dilaporkan menjadi sasaran, manakala beberapa kanak-kanak dilaporkan maut dalam satu serangan yang mengena kawasan kediaman di ibu kota.

Sementara itu, Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv telah ditutup sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan.

Unit pertahanan udara Israel kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan balas daripada Iran.

Pemerhati antarabangsa menyuarakan kebimbangan bahawa konflik tersebut boleh mencetuskan ketidakstabilan besar di rantau tersebut dan menyeru semua pihak agar menahan diri serta mengutamakan penyelesaian diplomatik.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN