fb fb fb fb fb

Penduduk Sri Lanka bantah Wickremesinghe pangku jawatan presiden

(FOTO REUTERS)

COLOMBO, 19 Julai- Pelajar di Sri Lanka dan beberapa kumpulan lain merancang melakukan bantahan bagi menentang Ranil Wickremesinghe, yang dijangka dilantik sebagai presiden baharu.

Berpuluh-puluh anggota kesatuan sekerja Sri Lanka mengadakan bantahan di luar terminal kereta api utama ibu negara Colombo semalam yang menuntut pemangku presiden Ranil Wickremesinghe meletak jawatan.

Penunjuk perasaan berhimpun walaupun Wickremesinghe mengisytiharkan darurat pada 17 Julai dalam usaha untuk mengelak pergolakan menjelang undian Parlimen esok untuk memilih presiden baharu. Peruntukan undang-undang khusus darurat masih belum diumumkan oleh kerajaan.


(Kumpulan kesatuan sekerja melakukan tunjuk perasaan membantah pelantikan
Wickremesinghe selaku pemangku presiden di Colombo/REUTERS)

"Kami turun ke jalan raya hari ini kerana (Presiden) Ranil Wickremesinghe mesti mengosongkan kerusinya. Ranil Wickremesinghe tidak mendapat sokongan daripada rakyat dan tiada mandat (untuk memerintah)," kata Mahinda Jayasinghe, seorang pemimpin kesatuan sekerja.

Wickremesinghe, yang juga Perdana Menteri sebanyak enam kali, mengambil alih sebagai pemangku presiden selepas penyandang, Gotabaya Rajapaksa, meletak jawatan dan melarikan diri ke luar negara.

Penunjuk perasaan yang marah dengan harga keperluan asas yang melonjak dan kekurangan makanan serta bahan api, mahu Wickremesinghe disingkir.

Parti-parti politik akan mengusulkan calon mereka untuk presiden pada hari ini, dengan undian diadakan esok oleh ahli parlimen mengenai individu yang akan melengkapkan penggal Rajapaksa, yang dijadualkan berakhir pada 2024. -REUTERS

Media Baharu