fb fb fb fb fb

Guru Gaza ajar anak pelarian di Mesir

Seorang guru dari Gaza mengajar anak-anak pelarian asas membaca dan menulis / Foto VIORY

KAHERAH, 21 Julai – Dua guru Palestin, Hanaa al-Tabbaa dan Joan Abu Shaaban, menubuhkan kelas sementara untuk kanak-kanak Gaza yang berpindah ke Mesir akibat genosid Israel.

Menerusi inisiatif itu, kanak-kanak terlibat dapat belajar asas membaca dan menulis.

“Ramai kanak-kanak Gaza lari ke Mesir tetapi tidak dapat bersekolah kerana tiada permit kediaman.

Ramai datang belajar asas membaca dan menulis. Tapi mereka tetap tidak dapat sijil,” kata Abu Shaaban.

Beliau menegaskan sokongan psikologi amat penting memandangkan ramai kanak-kanak hilang keluarga akibat perang.

Kelas berkenaan hanya ‘penyelesaian sementara’ ketika pendidikan formal tidak dapat diakses.

Dalam pada itu, Hanaa al-Tabbaa berkata, mereka mengajar di rumah kerana tidak boleh bekerja di sekolah tanpa permit.

“Kami tinggalkan Gaza sehelai sepinggang.

Usaha ini bantu kami sara hidup dan beri pendedahan untuk anak-anak belajar,” kata Hanaa al-Tabbaa.

Institut Kajian Palestin (IPS) melaporkan Kedutaan Palestin di Mesir sedang berusaha mendapatkan permit kediaman sementara untuk pelarian Gaza sejak perang meletus.

Menurut IPS, jumlah pelarian Gaza di Mesir dianggarkan mencecah 120,000 hingga 150,000 orang.

Mereka kini berdepan kesukaran mendaftar anak ke sekolah, mendapatkan kerja, rawatan kesihatan dan membuka akaun bank.

Kedutaan Palestin dan beberapa entiti lain menuntut permit kediaman sementara yang boleh diperbaharui sebagai langkah kemanusiaan.

Sementara itu, kerajaan Mesir menegaskan penolakan sebarang rancangan menempatkan rakyat Palestin secara paksa di wilayahnya.

Mesir hanya membenarkan pembukaan sempadan untuk tujuan kemanusiaan, bukan pemberian taraf pemastautin kekal. -VIORY

FARIS IZZAT SHAHARUDIN