fb fb fb fb fb

Penduduk Filipina jatuh sakit, kesan tumpahan minyak

MANILA, 8 Mac- Berpuluh-puluh penduduk Filipina jatuh sakit selepas minyak dari sebuah kapal tangki karam dihanyutkan ke pantai, kata pegawai bertugas.

Pihak berkuasa masih berusaha untuk ke lokasi kapal yang karam itu.

'The Princess Empress' membawa 800,000 liter bahan api industri dan ia tenggelam lebih seminggu lalu di luar pulau tengah Mindoro, selatan ibu kota Manila.

Bahan api diesel dan minyak dari kapal itu telah mencemari perairan dan di sepanjang pantai wilayah Oriental Mindoro, kata Gabenor Humerlito Dolor kepada pemberita.

Tumpahan minyak tersebut dikesan sehingga ke selatan pulau Semirara iaitu lebih 130 kilometer dari kawasan kapal tangki itu karam.

Perkara tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap hidupan marin dan ekonomi di rantau itu.

Pegawai kesihatan wilayah Cielo Ante berkata, sekurang-kurangnya 43 orang dilaporkan mengalami muntah-muntah, sakit kepala dan loya sejak minyak itu sampai ke pantai mereka.

Menurut Ante, "mereka tinggal di kawasan tumpahan minyak berlaku."

Bagaimanapun, "pihak berkuasa belum mengesahkan simptom itu adalah kesan langsung daripada tumpahan itu," tambahnya.

(Pengawal Pantai Filipina (PCG) mengutip serpihan tumpahan di sepanjang pantai di Pola/AFP)

Dolor berkata usaha pembersihan sedang dijalankan bagi mengelak peningkatan penyakit tersebut.

Menurut jurucakap Pengawal Pantai Filipina Armando Balilo, "keadaan laut bergelora dan kesan tumpahan minyak menghalang usaha melakukan pembersihan di kawasan itu."

Jabatan Alam Sekitar berkata pada Isnin bahawa kapal tangki yang tenggelam itu mungkin telah dikesan.

Ia dipercayai berada kira-kira 400 meter di bawah permukaan, namun kedudukan tepatnya perlu disahkan.

Beribu-ribu nelayan dilarang untuk turun ke laut bagi melakukan aktiviti di kawasan pantai itu.

Dianggarkan 591 hektar terumbu karang, 1,626 hektar bakau dan 362 hektar rumpai laut "berpotensi terjejas" oleh tumpahan minyak itu, kata Setiausaha Alam Sekitar Maria Antonia Loyzaga.- AFP

Media Baharu