fb fb fb fb fb

Penduduk dunia perlu hala tuju baharu penggunaan air - PBB

(FOTO AFP)

NEW YORK, 25 Mac - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres semalam mendesak penduduk dunia mengubah cara melindungi sumber air dan mengelakkan konflik bagi memastikan kemakmuran global pada masa hadapan.

Pada hari terakhir persidangan PBB mengenai air yang berlangsung selama tiga hari itu, Guterres berkata air adalah sumber paling berharga dan perlu berada di pentas utama agenda politik global.

(Antonio Guterres / FOTO AFP)

"Semua harapan manusia pada masa depan bergantung kepada cara kita sekarang merangka hala tuju baharu berasaskan sains bagi memberi nyawa kepada agenda tindakan air.

"Inilah masanya untuk bertindak, dunia tidak berada di landasan sepatutnya untuk mencapai matlamat pemuliharaan sumber air 2030, termasuk akses kepada air minuman yang selamat dan sanitasi untuk semua," katanya.

Badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan dan sektor swasta menawarkan hampir 700 komitmen sebelum dan semasa berlangsungnya perhimpunan PBB yang menghimpunkan 10,000 orang peserta itu.

Antara ikrar yang dibuat termasuklah dari pembinaan tandas hingga pemuliharaan of 300,000 kilometer (km) sungai tercemar kawasan tanah lembap yang luas.

Menurut wakil badan pemikir World Institute, Charles Iceland, kurang daripada satu pertiga komitmen berkenaan sudah mendapat pembiayaan dan perkembangan itu akan memberi kesan yang besar.

Bagaimanapun, jelasnya merujuk kepada projek diketuai Jerman berhubung pengurusan lembangan Sungai Niger yang membabitkan sembilan negara Afrika, komitmen secara sukarela adalah permulaan yang baik.

Menurut angka terkini yang disusun oleh laman web UN-Water, pada 2020, dua bilion masyarakat dunia masih hidup tanpa air minuman yang selamat dan 3.6 bilion lagi tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan sanitasi yang diurus dengan selamat, termasuk 494 juta orang terpaksa menggunakan tempat terbuka sebagai tandas.

Sekurang-kurangnya dua bilion orang minum air yang tercemar dengan najis dan 2.3 bilion lagi kekurangan perkhidmatan sanitasi asas, sekali gus meningkatkan potensi penyebaran penyakit seperti taun, disentri dan polio. -AFP

Media Baharu