fb fb fb fb fb

'Pemusnahan' Hamas sebagai sebahagian rancangan tamatkan perang di Gaza- Netanyahu

Foto Fail: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tiba di mesyuarat parti Likud di Knesset, parlimen Israel, di Baitulmaqdis pada 20 Mei 2024/ REUTERS

BAITULMAQDIS, 1 Jun- Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini menegaskan pemusnahan Hamas sebagai sebahagian daripada rancangan Israel yang dibentangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden untuk menamatkan perang di Gaza.

“Syarat Israel untuk menamatkan perang tidak berubah... memusnahkan tentera dan keupayaan pemerintahan Hamas, pembebasan semua tebusan dan memastikan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel,” kata pemimpin Israel itu dalam satu kenyataan.

“Di bawah cadangan itu, Israel akan terus menegaskan syarat ini dipenuhi sebelum gencatan senjata kekal dilaksanakan.

“Tanggapan bahawa Israel akan bersetuju dengan gencatan senjata kekal sebelum syarat ini dipenuhi adalah bukan permulaan,” tambah Netanyahu.

Hari ini, Biden berkata Israel menawarkan pelan hala tuju baharu ke arah gencatan senjata penuh di Gaza.

Beliau berkata tawaran tiga peringkat Israel akan bermula dengan fasa enam minggu yang akan menyaksikan tentera Israel berundur dari semua kawasan berpenduduk di Gaza.

Ia juga akan menyaksikan "pembebasan beberapa tebusan, termasuk wanita, warga emas, yang cedera, sebagai pertukaran untuk pembebasan ratusan tahanan Palestin", kata Biden.

Israel dan Palestin kemudiannya akan berunding selama enam minggu itu untuk gencatan senjata yang berkekalan tetapi gencatan senjata diteruskan sementara perbincangan masih berjalan, kata Biden.

Hamas berkata akan "menimbang secara positif" rancangan yang dibentangkan oleh Biden. -AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI