HELSINKI, 20 Januari - kira-kira 160 orang pemohon suaka politik di timur sempadan Finland didapati hilang di tengah-tengah lonjakan mendadak pencari suaka yang tiba melalui Rusia, kata pihak berkuasa imigresen Finland.
Kerajaan Finland yang telah menutup sempadan timurnya dengan Rusia tahun lalu disebalik peningkatan mendadak migran dari Syria dan Somalia, menuduh Moscow melambakkan pendatang ke sempadan Finland.
Namun, tuduhan tersebut dinafikan oleh Kremlin.
Unit Suaka Finland, Migri berkata pihaknya telah mendapat kira-kira 1,323 permohonan suaka di timur sempadan negara itu antara Ogos dan Disember tahun lalu termasuk 900 permohonan pada November dan 300 lagi permohonan sama pada Disember.
Tambah Migri, 160 orang didapati hilang daripada pusat penerimaan tetamu dan kebanyakannya tidak dapat dikesan keberadaannya, kata Pengarah Unit Suaka Migri, Antti Lehtinen kepada Reuters.
Seramai 18 orang pemohon suaka memfailkan semula permohonan suaka di negara-negara Eropah lain seperti Belanda, Belgium, Norway, Sweden, Perancis, Jerman dan Switzerland.
"Mungkin 160 orang ini telah ke negara lain, tetapi mereka belum lagi memohon suaka di negara itu," kata Lehtinen.
Setiap pencari suaka di Finland diwajibkan memuatnaik cap jari mereka ke sistem Eurodac, yang merupakan pangkalan data cap jari Eropah, tambah Lehtinen.
Di bawah peraturan EU, negara EU tempat pendatang pertama kali memohon suaka dipertanggungjawab bagi memproses permohonan berkenaan.
Januari lalu, Finland melanjutkan penutupan sempadannya dengan Rusia sehingga 11 Februari dengan memberi alasan kemungkinan aliran masuk pencari suaka akan dimulakan semula jika sempadan dibuka.
Tahun lalu, Presiden Finland, Sauli Niinisto menggesa satu penyelesaian dilakukan di seluruh Kesatuan Eropah EU bagi menghentikan kemasukan yang tidak terkawal ke kawasan Schengen tanpa pasport Eropah.- REUTERS