(Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei/ AFP)
PARIS, 4 Oktober- Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mendalangi gelombang pergolakan di seluruh negara itu dengan kemarahan rakyat terhadap kematian Mahsa Amini.
"Saya katakan dengan jelas bahawa rusuhan dan gsanguan ketenteraman awam ini direncana oleh AS dan rejim Zionis serta ejen mereka, dengan bantuan beberapa pengkhianat Iran di luar negara," katanya.
Amini, 22, disahkan meninggal dunia pada 16 September lalu, beberapa hari selepas polis moral menahan warga Iran Kurdish itu kerana didakwa melanggar peraturan mewajibkan wanita memakai tudung dan menutup aurat.
Kemarahan atas kematian Amini mencetuskan gelombang protes terbesar yang menggegarkan Iran dalam tempoh hampir tiga tahun, dengan pasukan keselamatan di Tehran bertindak keras terhadap ratusan pelajar universiti pada malam Ahad.
(Seorang penunjuk perasaan memegang gambar Mahsa Amini semasa demonstrasi
menentang rejim Iran di Istanbul / AFP)
Dalam komen awam pertamanya mengenai kematian Amini, Khamenei, 83, menegaskan bahawa polis 'harus menentang penjenayah' dan mengakui 'kematian wanita muda itu menyayatkan hati'.
"Namun, yang tidak normal adalah sesetengah individu, tanpa bukti atau siasatan, memilih jalanan berbahaya, membakar Al-Quran, menanggalkan hijab daripada wanita bertudung dan membakar masjid serta kereta.
"Perkara ini bukan mengenai hijab di Iran, malah ramai wanita Iran yang tidak bertudung dengan sempurna adalah antara penyokong teguh republik Islam ini," katanya.
Kebimbangan semakin meningkat terhadap tindakan keras pada waktu malam ke atas pelajar di Universiti Teknologi Sharif yang berprestij di Tehran.
Media tempatan melaporkan, polis rusuhan membawa pistol berpeluru 'pellet' keluli dan menggunakan gas pemedih mata serta pistol 'paintball' terhadap peserta protes.
Kumpulan Hak Asasi Manusia Iran yang berpangkalan di Oslo menyiarkan video menunjukkan polis menaiki motosikal sambil mengejar pelajar yang berlari melalui tempat letak kereta bawah tanah dan membawa pulang tahanan dengan kepala mereka ditutup kain hitam.
Dalam salah satu klip yang diambil di stesen metro Tehran, orang ramai boleh didengari melaungkan: "Jangan takut! jangan takut! Kami semua bersama-sama!"
Amnesty International berkata ia mengesahkan 53 kematian, selepas agensi berita, Iran Fars, memaklumkan bahawa 'kira-kira 60' orang meninggal dunia.
Sekurang-kurangnya 12 anggota pasukan keselamatan dilaporkan terbunuh sejak 16 September lalu.
Iran juga berulang kali menuduh bahawa terdapat ejen asing cuba mencetuskan huru hara di negara itu susulan penahanan sembilan warga asing termasuk dari Perancis, Jermany, Itali, Belanda dan Poland dan tempoh seminggu lalu. - AFP