fb fb fb fb fb

Pemimpin EU setuju buka rundingan keahlian untuk Bosnia

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Presiden Majlis Eropah Charles Michel menghadiri sidang media, pada Sidang kemuncak pemimpin EU di Brussels, Belgium 21 Mac- REUTERS

BRUSSELS, 22 Mac- Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk membuka rundingan keahlian Bosnia Herzegovina menyertai blok tersebut dengan syarat negara Balkan itu perlu meluluskan lebih banyak pembaharuan penting.

Menurut Ketua Majlis Eropah Charles Michel, kata sepakat itu dicapai pada pertemuan di Sidang Kemuncak Brussels, Belgium.

"Tahniah! Tempat anda adalah dalam keluarga Eropah kami. Keputusan hari ini adalah langkah penting ke hadapan dalam laluan EU anda", katanya.

Menerusi catatan di Laman X, Charles memberitahu usaha lebih keras perlu dilakukan bagi menyokong kemajuan negara Balkan tersebut.

Bosnia Herzegovina telah memohon keahlian EU sejak tahun 2022 dengan langkah terbaharu itu mendapat sokongan penuh Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, Jerman dan Itali.

Minggu lalu, Brussels berkata negara itu telah menyelesaikan beberapa langkah yang diperlukan, pembaharuan kehakiman dan pilihan raya yang cemerlang, kekal.

Peperangan antara Rusia-Ukraine telah menyemarakkan lagi usaha EU untuk berkembang di timur dan tengah Eropah, termasuk negara anggota semasanya yang bersetuju untuk memulakan rundingan pada Disember untuk bergabung dengan Ukraine dan Moldova.

Sementara itu, Canselor Jerman Olaf Scholz menghantar ucapan tahniah untuk Bosnia menerusi platform X dan berkata ia adalah "tanda jelas yang memihak kepada Eropah yang kuat".

Kerajaan Itali juga memuji keputusan bersejarah itu dan berkata ia menunjukkan isyarat jelas kepada negara-negara Balkan yang ingin menyertai blok itu.

Pelancaran rundingan itu meletakkan Bosnia pada permulaan proses yang panjang, biasanya selama bertahun-tahun sebelum sesebuah negara menyertai EU.

Jiran serantau Bosnia, Macedonia utara, Montenegro, Serbia dan Albania telah mendahului dalam usaha untuk menyertai, namun perjalanan masih panjang.

Pemimpin EU turut menggesa Brussels untuk bergerak ke hadapan dengan pantas ke arah langkah seterusnya untuk memulakan perbincangan dengan Ukraine dan Moldova.-AFP

ROSLINA BINTI DIN